Feb 15, 2012

KAC 8

Di Stesen Bas..

AZMAN membantu Cinta dengan menjinjing beg baju milik Cinta. Cinta berjalan di belakang Azman. Dia takut. Entah bagaimanalah nasibnya selepas ini jika Azman tiada untuk membantu. Meliar mata Azman mencari bas untuk ke Johor. “Hah tu pun!” seru Azman sebaik melihat bas yang bernombor enam puluh tujuh yang tertampal di hadapan cermin bas.
Azman menoleh mencari Cinta, “Cinta, itu basnya untuk ke Johor. Ini beg Cinta.” Beg yang sederhana besar itu sudah bertukar tangan. Beg itu tidaklah begitu berat tetapi entah mengapa Azman begitu mulia hati ingin membantu Cinta membawakan begnya.
“Terima kasih, awak.” Ucap Cinta.
“Sama-sama. Cinta hati-hati ya. Oh ya, Cinta ada handphone? Kalau tak keberatan, saya nak minta nombor telefon Cinta.”
Cinta menggeleng kepala.
Azman mengeluh, “tak apalah kalau tak nak bagi.” Sayu sahaja nada suaranya.
Cinta tersenyum kecil, “macam mana nak bagi kalau telefonnya pun tak ada?”
Azman tersengih-sengih. Cinta menggeleng kepala sahaja. Dia tahu Azman seorang yang baik. Azman bukan jenis lelaki yang hidung belang atau buaya darat. Azman mempunyai hati yang sangat baik. Susah hendak jumpa lelaki sebaik Azman pada zaman kini. Mungkin satu dalam sepuluh atau sepuluh dalam sejuta.
Azman mencapai tangan Cinta. Cinta terkejut tetapi dia membiarkan sahaja. Cinta dapat rasa ada sesuatu di dalam tangannya. “Eh apa ni, awak?”
Azman menghadiahkan senyuman pada Cinta, “ini ada duit sikit untuk Cinta. Oh ya, lagi satu. Ini kad saya, kalau ada apa-apa jangan segan call ya? Saya akan tolong selagi termampu.” Azman menghulurkan sekeping kertas berwarna putih pada Cinta.
“Eh awak! Banyak sangat ni. awak ambillah balik. Tak apa, saya okey.” Cinta cuba untuk mengembalikan semula duit yang diberi oleh Azman. Tetapi Azman menolak, “ambil sajalah atau Cinta tak sudi terima pemberian dari saya?”
“Bukan macam tu, tapi banyak sangat ni. Saya nak buat apa sampai lima ratus ringgit ni?”
“Tak apa, ambil. Kalau lebih boleh simpan. Cinta boleh guna kalau Cinta nak sewa rumah ke. Tapi janganlah sewa rumah yang mahal-mahal, tak cukup nanti.”
Cinta tersenyum. Dia terharu dengan kebaikan Azman padanya, “terima kasih, awak. Saya harap kita dapat jumpa lagi. Bolehlah saya bayar balik duit awak.”
Azman ketawa kecil, “kalau awak dah terkenal ke kan suatu hari nanti. Tak adalah, manalah tahu kan takdir awak jadi artis macam Lisa Surihani ke, awak jangan lupa kat saya pulak ya? Paling-paling pun awak panggillah saya jadi extra dalam filem awak.” Azman berseloroh.
Cinta ketawa, “ada-ada sajalah awak ni. Insya-ALLAH saya takkan lupa pada awak. Masakan saya lupa pada orang yang sudah membantu saya. Sekali lagi, terima kasih sebab dah tolong saya. Terima kasih banyak-banyak. Saya tak tahu macam mana nak balas jasa awak, Azman.”
“Eh, sudahlah. Jangan nak berdrama sangat kat sini. Nanti saya yang menangis pulak. Awak masuklah dalam bas cepat, nanti tertinggal bas saya tak boleh nak tumpangkan awak dalam rumah saya lagi.”
Cinta tersenyum. Dia langsung tidak terasa hati dengan kata-kata Azman. Dia sudah menganggap Azman seperti abangnya sendiri walhal baru kenal tidak sampai dua hari. “Terima kasih sekali lagi ya awak. Saya takkan lupa pada awak. Saya pergi dulu. Kirimkam salam saya pada Kak Suraya ya. Assalamualaikum.”
Cinta masuk ke dalam perut bas. Dia mengambil tempat yang berdekatan dengan tingkap supaya dia dapat melihat Azman. Dia amat berharap suatu hari nanti dia akan bertemu lagi dengan Azman.
Bas sudah pun bergerak. Melalui tingkap bas, Cinta melambai tangan pada Azman. Azman juga turut membalas lambaian tangan dari Cinta. Semoga ALLAH memberkati hidup Azman dan Kak Suraya. Doa Cinta.

SETELAH berjam-jam di dalam perut bas, punggungnya pun sudah kebas akibat duduk lama, akhirnya sampai juga Cinta ke destinasinya. Sebelum melangkah menuruni tangga bas, Cinta berdoa semoga ALLAH permudahkan segala urusannya di sini. Semoga ada insane semulia Azman membantunya sekiranya dia di timpa masalah lagi. Amin.
Cinta melilau mencari teksi untuk menghantarnya ke kampung halamannya yang sudah lama tidak di jejakinya. Nasiblah sewaktu masih bersekolah dahulu, Cinta sering keluar bersama rakan-rakan ketika cuti sekolah. Jadi, tidaklah terlalu kekok seperti di Melaka untuknya mencari jalan ke rumah lamanya yang mungkin ada atau sudah dirobohkan. ‘Ya ALLAH! Engkau bantulah aku. Engkau permudahkanlah segala urusanku Ya ALLAH!’ doanya memohon pertolongan dan perlindungan dari Yang Maha Esa.
Cinta tidak perasan akan seseorang di hadapannya. Dia yang sedang khusyuk membaca di papan kenyataan telah terlanggar dengan seorang lelaki. “Hoi!! Buta ke?!” tempik lelaki itu.
Cinta menggeletar ketakutan. Beg sandang milik lelaki itu sudah mencium lantai. Habis semua khazanah di dalam beg itu terhambur keluar dari beg. Makin membuat Cinta ketakutan apabila di lihatnya sebuah telefon bimbit sudah berkecai di atas lantai itu.
“Ya ALLAH! Maaf.. maaf encik, saya tak sengaja. Saya tak sengaja.” Cinta ingin membantu lelaki itu mengutip segala barangannya yang sudah bertaburan di atas lantai tetapi tangan Cinta di rentap kasar oleh lelaki itu.
“Hei! Kau ingat dengan kata maaf kau tu boleh ganti android aku yang dah berkecai ni? Kau buta ke? Mata kau letak kat mana?” marah lelaki itu.
Cinta terdiam. Dia langsung tidak memandang wajah lelaki di hadapannya itu. Matanya hanya memandang sejenis alat komunikasi yang sudah berubah bentuk dari asalnya yang berada di tangan lelaki itu.
“Hoi aku cakap dengan kau ni! Bila kau cakap pandanglah aku!”
Terus Cinta mengangkat wajahnya memandang lelaki itu. Orang yang lalu lalang langsung tidak membantu Cinta. Mereka hanya melihat Cinta yang sedang di maki hamun oleh lelaki yang tidak beradab itu.
“Aku cakap dengan kau! Kau boleh ganti ke android aku ni? Aku tak kira! Kau ada duit ke tak, aku nak kau ganti android aku ni sekarang jugak! Apa nak jadi, jadilah. Aku tak kira!” tempik lelaki itu kuat.
“Err.. err.. saya ada lima ratus. Awak ambillah.” Pantas Cinta menghulur sampul surat uyang diberi Azman padanya tadi. Dengan tidak berfikir panjang Cinta berkata, “kalau tak cukup, encik cakap sajalah. Saya akan buat apa saja.”
“Kau ingat aku beli benda alah ni kat pasar malam?!” jerkah lelaki itu tanpa menghiraukan orang lain.
“Saya tak ada duit, encik. Sumpah, itu saja yang saya ada.”
“Baik, kau tak nak bayar kan? Mari ikut aku ke balai.” Hah? Tercengang Cinta mendengarnya. Balai? Takkan sampai macam itu sekali? Kenapa perlu bawanya ke balai? Masalah ini bukanlah begitu serius sehingga perlu pihak polis masuk campur. Dia bukannya mencuri.
“Tapi saya bukannya…”
“Ah! Aku dakwa kau atas kesalahan kau cuba mencuri barang aku!” pantas lelaki itu menjawab. Terbeliak mata Cinta memandang lelaki itu. Mencuri? Tidak pernah dalam seumur hidupnya dia ingin mencuri, berniat untuk mencuri pun tidak pernah sama sekali.
Tetapi Cinta yang lurus bendul, merayu lelaki itu dan dia berjanji akan membuat apa sahaja asalkan lelaki itu tidak membawanya ke balai polis. “Tolonglah, encik. Saya betul-betul tak ada duit, macam mana saya nak bayar pada encik? Lima ratus itu sajalah yang saya ada, encik. Tolonglah jangan bawa saya ke balai polis, saya merayu.”
“Aku tak peduli. Mari ikut aku!” lelaki itu mengheret Cinta masuk ke dalam kereta Proton Perdana berwarna hitam. Cinta cuba untuk melepaskan diri tetapi pegangan lelaki itu pada pergelangan tangannya amat kuat. Sesekali Cinta mengaduh kesakitan.
Cinta kecewa kerana tiada siapa daripada beratus orang yang berada di situ yang hendak membantunya. Sungguh kejam dunia ini. Sekurang-kurangnya tolonglah panggilkan pengawal keselamatan untuk membantunya. Cinta menangis sendiri.
Tetapi nasi sudah menjadi bubur, Cinta di bawa entah ke mana oleh lelaki itu. Di dalam kereta Cinta tidak henti-henti merayu agar dia tidak dibawa ke balai polis. Dia sanggup buat apa sahaja asalkan lelaki itu tidak membawanya ke balai polis.
“Encik, tolonglah encik. Jangan bawa saya ke balai polis. Saya sanggup buat apa saja, encik cakap saja. Tolonglah, encik!” rayu Cinta.
Cinta menangis teresak-esak dan membuat lelaki itu menjadi jatuh kasihan padanya. Dia memperlahankan keretanya, “baiklah aku tak bawa kau pergi balai polis. Tapi kau kena pilih! Kau nak meringkuk dalam penjara atau kau nak berkerja dengan aku? kau kerja dengan aku sampai cukup duit yang kau hutang dengan aku!”
Tanpa berfikir panjang, Cinta mengangguk laju. dia amat bersyukur lelaki itu tidak membawanya ke balai polis tetapi Cinta gerun bagaimana pula nasibnya selepas ini. Dia pasti lelaki itu tidak akan melepaskannya dengan senang hati. ‘Ya ALLAH! Engkau bantulah aku.’

No comments:

Post a Comment