Feb 14, 2012

KAC 6

RETH, Lilian, Hetty dan Sophie sudah berangkat ke Sydney pagi semalam. Cinta keseorangan di  rumah. Pagi itu pula dia tidak berapa sihat. Kepalanya bagai dihurung lalat. Entah kenapa kepalanya terasa pening. Semua yang dilihatnya kelihatan seakan berputar-putar seperti bola. Namun, Cinta gagahkan juga dirinya membuat kerja-kerja rumah yang terbengkalai. Sebenarnya, dengan ketiadaan mereka di rumah ini, dia lebih senang hendak melakukan tugas membersihkan rumah, tidak perlu terkejar sana sini.
TING TONGG!!
Loceng rumah berbunyi. Cinta segera mengintai di balik langsir jernih yang tergantung cantik di tingkap. Kelihatan ada seorang lelaki di luar pagar rumah. Cinta cuba untuk mengenalpasti siapakah gerangan lelaki itu, tetapi gagal. Muka lelaki itu terselindung di sebalik tiang rumah.
Lambat-lambat Cinta membuka pintu. Jacob! mengucap panjang Cinta sebaik melihat lelaki itu sudah berada di hadapannya. Nasiblah mereka di halang oleh grill yang masih belum di buka oleh Cinta.
“Err.. uncle cari siapa?” soal Cinta.
“Aku tertinggal barang hari tu, bagi aku masuk!” Cinta menggeleng, “tak ada orang kat rumah.”
Jacob menepuk grill dengan telapak tangannya, “aku tak tanya ada orang ke tak kat rumah ni, aku kata aku tertinggal barang, aku nak masuk!” marah Jacob.
Cinta tidak tahu mengapa Jacob perlu marah-marah. Tiada siapa di rumah, takkan dia hendak membiarkan lelaki tua tidak sedar diri ini masuk ke dalam rumah?
“Kau pekak ke?! Bagi aku masuk, buka pagar ni!”
“Tapi…” Cinta tergagap-gagap, “saya.. err.. Uncle.. nanti.. err..”
“Kau nak aku lapor pada Reth ya? Kau ingat dia orang semua akan bela kau? Baik kau buka pagar ni cepat sebelum aku hilang sabar!”
Cinta tiada pilihan lain. Cepat-cepat dia mencapai kunci grill dan membukanya. Jacob tersenyum senang sebaik melangkah masuk ke dalam rumah. “okey, sekarang aku nak kau buka baju kau!” arah Jacob.
Bulat mata Cinta memandang Jacob. Gila betul orang tua ni. Tadi bukankah katanya dia tertinggal barang? Dia mahu mengambil barangnya yang tertinggal.
“Barang apa yang tertinggal, Uncle? Ambillah cepat dan tolong pergi dari sini.” Cinta memberanikan diri menghalau lelaki itu walaupun di dalam hati hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa takutnya dia.
Jacob ketawa lepas, “kau ingat aku senang-senang saja nak lepaskan peluang keemasan ni? Dah lama aku tunggu saat ni. Reth tu bodoh! Kalau aku jadi dia, dah lama aku ratah-ratah badan kau yang… emm.. mari sini..” Jacob menarik tangan Cinta. Cinta meronta-ronta ingin melepaskan diri.
“Aku minta baik-baik, kau tak nak kan? Mari, biar aku yang tolong bukakan baju kau. Mari…” Jacob sudah merentap baju t-shirt yang di pakai Cinta. Tangan Cinta mengagau mencari tangan Jacob yang sedang meraba dadanya.
“Lepaslah! Jangan buat saya macam ni. Tolonglah..” Rayu Cinta tetapi langsung tidak di hiraukan oleh Jacob. Jacob semakin ganas. Dia mencium leher Cinta dengan rakus.
Cinta mendapat kekuatan lalu menyepak Jacob sekuat hati dan Jacob tersungkur ke lantai. Cinta terus berlari masuk ke dalam biliknya. Dia mengemas dan mengambil semua barang keperluannya lalu menyumbat kesemuanya ke dalam beg. Dia nekad mahu pergi dari rumah itu. Bukan dia tidak menghargai jasa Reth tetapi dia tidak sanggup sekiranya memandang wajah Jacob di dalam rumah ini lagi. Dia mahu lari jauh dari neraka dunianya ini.
“Hoi, keluarlah! Aku tak buat apa-apa dah.” pujuk Jacob.
Cinta diam. Dia menyorok di belakang almari sambil memeluk beg pakaiannya. Lama dia menunggu, suara Jacob tidak kedengaran lagi. Lalu dengan semangat yang berbaki, dia membuka pintu perlahan-lahan dan terus lari meninggalkan rumah yang selama ini menjadi tempatnya berteduh selama tiga tahun lebih, dia langsung tidak menoleh ke belakang lagi.

CINTA tidak tahu mahu ke mana. Dia tidak biasa jalan di Melaka ini. Jangankan Melaka, jika dia di campak di pekan terdekat dengan rumah Reth pun dia tidak tahu bagaimana mahu mencari jalan pulang. Dunianya selama ini hanya di dalam rumah Reth. Dia tidak pernah melihat dunia luar. Kalau ada pun, hanya di halaman rumah Reth. Sadis sungguh nasibnya.
Walaupun begitu, Cinta tetap meneruskan perjalanannya. Ke mana sahaja arah kakinya melangkah, dia turutkan. Dimana kakinya berhenti melangkah, di situ lah dia berhenti untuk berehat. Serasanya dia sudah lama berjalan tetapi dia masih tidak tahu di mana dia berada kini. Di kiri dan kanannya terdapat kawasan perumahan. Dia bingung!
“Cik, nak ke mana? Boleh saya tumpangkan?” tegur seorang lelaki dari dalam kereta Waja yang berwarna putih.
Cinta menggeleng. Dia mengepit kuat begnya ke dada. Walaupun dia tidak pernah melihat dunia luar, dia tahu masalah jenayah yang sering berlaku di negara ini seperti meragut, merompak, mencabul, membunuh dan merogol. Subhanallah! Minta di jauhkan semua perkara buruk itu darinya.
“Alah, marilah saya tumpangkan. Saya ikhlas ni.” pujuk lelaki itu pula dengan sengihan. Cinta mempercepatkan langkahnya. Dia langsung tidak menoleh pada lelaki itu.
“Cik, dah malam ni! tak takut ke?” lelaki itu terus mengekorinya. Sengaja lelaki itu memperlahankan keretanya. Mengacah-acah Cinta yang di dalam ketakutan itu.
“Tak apa, saya tak takut.” Jawab Cinta berani. Tidak takut? Benarkah? Ah, dia sudah tidak peduli semua itu. Semakin laju langkah di atur tetapi lelaki itu tetap mengejarnya. Cinta mahu lari apabila dia mendengar suara pintu kereta di tutup dari arah belakangnya. Ya ALLAH! Engkau bantulah hamba-Mu ini. Lindungilah aku, ya ALLAH! Doa cinta di dalam hati.
“Cik, mari saya hantarkan. Nak ke mana ni?” lelaki itu menyambar tangan Cinta. Menggigil Cinta ketakutan.
“To.. tolong!” pekik Cinta kuat tetapi segera lelaki itu menutup mulutnya. “Hoi, apa jerit-jerit ni? Mari ikut aku!” lelaki itu menarik Cinta mengikutinya. “Tak nak! Tolong!!! Tolong!!” pekik Cinta sekuat hati. Dia tidak peduli lelaki itu hendak marah padanya, yang penting dia tidak suka di layan sebegini.
“Hei! Apa kau buat tu? Lepaskan dia!” tiba-tiba datang seorang lelaki lingkungan umur 30-an berlari anak mendapatkan mereka.
Lelaki lingkungan 30-an itu terus meluru mendapatkan Cinta, “adik? Apa dia buat kat adik? Hei, berani kau sentuh adik aku?!” Cinta memandangnya pelik. Adik? Tetapi, lelaki itu mengenyitkan pula matanya pada Cinta. “Lepaskan dia!” arah lelaki itu pada lelaki yang memandu kereta Waja berwarna putih tadi.
Lelaki itu terus melepaskan Cinta dan berlari masuk ke dalam keretanya. Dengan sepantas kilat, dia memecut kereta Wajanya meninggalkan tempat tersebut.
“Awak tak apa-apa?” soal lelaki lingkungan 30-an itu pada Cinta. Cinta hanya menggeleng. Lelaki itu menghembus nafas lega. “Oh, baguslah. Siapa lelaki tadi tu? Boyfriends?” duganya.
Pantas Cinta menggeleng.
“Kawasan sini bahaya sikit, sekarang malam pulak kan. Cik nak ke mana ni?”
Cinta diam.
“Err, rumah cik kat mana? Biar saya hantarkan?”
Sekali lagi Cinta diam. Lelaki itu bingung memandang Cinta.
“Takkan bisu pulak minah ni?” Ucap lelaki itu perlahan tetapi masih dapat di dengari oleh Cinta. Cinta membulatkan mata memandang lelaki itu.
 Melihatkan keadaan Cinta, beg yang dikepit oleh Cinta, lelaki itu  dapat mengagak yang Cinta mempunyai masalah. “oh, lari dari rumah ya?” soalnya lagi.
Cinta diam.
“Err.. macam nilah, dah malam sangat ni, bahaya. Awak nak saya hantar awak ke mana-mana ke?”
Cinta masih diam. Makin bingung lelaki itu dibuatnya. “Err.. saya tak ada niat buruk tau. Saya betul-betul nak tolong ni. Lagipun dah malam sangat ni, tak elok awak berkeliaran malam-malam macam ni. Nanti entah siapa-siapa pulak yang tegur awak macam tadi. Awak ikut sayalah ya? Rehat. Esok pagi, awak decide nak pergi mana. Boleh?”
Cinta mengangguk. Entah kenapa, dia berani  bersetuju walhal dia tidak kenal lelaki di hadapannya itu. Tetapi, dia dapat rasa lelaki itu ikhlas ingin membantunya.
“Okey, jom! Kereta saya kat belakang tu.”

DI DALAM kereta Cinta hanya diam tanpa bersuara. Dia kekok untuk memulakan berbualan sementalah lelaki itu baru sahaja dia kenal, itu pun secara tidak sengaja. Tetapi, dia tidak sedap hati pula jika terus berdiam diri. Nanti lelaki itu mengatanya sombong dan tidak reti berterima kasih pula. Nak tak nak, Cinta bersuara juga.
“Err, terima kasih tolong saya.”
Lelaki itu tersenyum. Manis. “sama-sama. Saya ingat awak bisu, dah tak boleh bercakap.”
Cinta senyum sahaja. Ya, tadi pun lelaki itu mengatakan dia bisu. Panas sungguh hatinya mendengar kata-kata lelaki itu tadi.
“Saya Azman.” Kata lelaki itu.
“Cinta.” Cinta tunduk kepala. Dia tunggu reaksi dari Azman. Pasti lelaki itu pelik dengan namanya sepertimana rakan-rakan sekolahnya dahulu.
“Err.. awak cakap apa tadi?” Azman menoleh memandang Cinta.
“Nama saya, Cinta.” Ulang Cinta.
Azman mengangguk-anggukkan kepalanya dan sesekali dia tersengih-sengih. Cinta mendengus perlahan. Pasti Azman sedang mengejek namanya, “saya tahu nama saya pelik.” Akui Cinta. 
Azman geleng kepala, “eh, awak jangan salah faham. Ya, nama awak memang pelik tapi saya tak mengejek awak. Saya rasa kelakar je bila awak cakap nama awak tadi tapi saya ingatkan awak cakap, awak cintakan saya.” Azman ketawa lepas.
Cinta hanya tersenyum.
“So saya nak hantar awak kat mana ni?” soal Azman.
Cinta menggaru kepala. Ke mana dia mahu pergi? Minta Azman menghantarnya ke Johor Bharu? Mahukah lelaki itu menghantarnya ke tempat sejauh itu pada malam-malam begini? Tetapi jika ke Johor Bharu, ke mana dia mahu tinggal? Rumah ketika dia duduki bersama arwah papa dan mamanya dahulu, pasti sudah diduduki oleh penghuni lain.
Oh ya, mungkin dia boleh menumpang di rumah Halini. Tetapi bagaimana jika keluarga Halini sudah berpindah? Sementalah Cinta pun sudah bertahun-tahun tidak memberikan khabar berita sejak dia tinggal bersama bapa saudaranya, Reth.
“Kampung saya di Johor.” Balas Cinta.
“Johor? Awak nak saya hantar awak ke stesen bas? Bas awak pukul berapa?”
Cinta menggeleng, “saya tak naik bas.”
“Oh, awak naik teksi ya? Tapi nak dapatkan teksi malam-malam ni susah.”
Cinta diam. Dia tidak tahu bagaimana caranya untuk dia membuka mulut bercerita hal yang sebenar kepada Azman. Dia menunduk memandang selipar jepun yang tersarung di kakinya.
“Macam inilah, saya boleh tolong awak carikan teksi tapi bukan malam ni. Err.. kalau awak tak keberatan, awak boleh tinggal sementara di rumah sewa saya…” terbeliak mata Cinta memandang wajah Azman di sebelahnya. “Eh, awak jangan salah faham. Saya tak ada langsung niat buruk pada awak, saya ikhlas nak tolong. Awak jangan risau, kita tak tinggal berdua. Kakak saya ada kat rumah saya. Tapi hari ni sajalah, esok dia dah balik Brunei.” Terang Azman.
Cinta masih diam membisu.
“Okey, kalau awak tak nak, awak ada mana-mana pilihan? Nak bermalam kat hotel ke homestay ke. Saya boleh tolong hantarkan.” Cadang Azman.
“Saya tak ada duit.”
Azman terdiam. Mati kutu dia dibuatnya memikirkan cara untuk menolong Cinta.

No comments:

Post a Comment