Nov 23, 2011

KAC 2

CINTA memberanikan diri berjumpa dengan Reth di dalam bilik bacaan milik lelaki itu. Lusa sudah mula bulan Ramadhan. Sudah tiga tahun dia tidak dapat merasa bersolat terawih di masjid berdekatan. Dia teringin benar solat terawih di masjid seperti tahun-tahun sebelum papa dan mamanya meninggal dunia.
Sudah tiga tahun dia di sini tetapi langsung tidak berkesampaian untuk keluar dari rumah. Tamat sahaja SPM, dia terus mengikut Reth berpindah ke Melaka. Dia benar-benar memulakan kehidupan yang baru di negeri Melaka ini. Sudah tiga tahun juga dia tidak mendengar khabar berita teman karibnya, Halini di Johor Bharu. Bagaimanalah agaknya keadaan teman karibnya itu?
“Kau tercegat apa kat situ?” jerkah Reth dari dalam bilik bacaan. Cinta terkejut. Dia menapak perlahan-lahan ke dalam bilik bacaan. Dia berdoa di dalam hati semoga hati Reth lembut apabila mendengar permintaannya nanti. Dia benar-benar kepingin mahu solat terawih berjemaah di masjid.
Petang tadi dia ada mendengar perbualan Reth dengan Jacob. Melalui perbualan mereka itulah, Cinta jadi berani untuk mengutarakan hal ini. Dia tahu Reth tidak melarang dia mahu mengamalkan ibadah yang di tuntut dalam Islam.
“Hmm, kau nak apa?” tanya Reth lembut sahaja. Dia langsung tidak memandang wajah Cinta. Dari awal Cinta duduk di rumahnya lagi, jarang sekali dia memandang wajah yang mirip benar dengan wajah Kaith, abang kesayangannya itu.
“Err.. Uncle, lusa.. lusa dah masuk bulan Ramadhan. Cinta..” segera kata-katanya dipotong, “so?” Cinta menelan liur. Betapa takutnya dia ketika ini hanya ALLAH sahaja yang tahu. Bagai mahu tercabut sahaja jantungnya apabila berhadapan dengan bapa saudaranya itu. Reth tampak garang tetapi dia tahu, hati bapa saudaranya itu lembut. Reth seorang yang penyayang di sebalik wajah garangnya itu.
“Kau nak puasa? Aku kan tak pernah melarang kau nak berpuasa. Bukankah selama ini pada bulan Ramadhan kau berpuasa, jadi apa yang kau mahu?”
“Cinta.. Cinta..”
“Kau jangan buang masa aku! Cakap sajalah.” Reth sudah mula naik berang tetapi dia kembali tenang apabila terdengar esak kecil datang dari Cinta, “kau mahu apa, Cinta?”
“Cinta.. Cinta dah lama tak pergi masjid. Cinta rindu nak solat terawih berjemaah macam dulu.” Cinta menarik nafas sebelum menyambung kata, “Cinta nak minta izin dari uncle untuk..”
Reth bangun dari kerusi. Dia cukup marah jika Cinta meminta izin darinya untuk keluar dari rumah. Dulu, ketika keputusan SPM Cinta di umumkan dan Cinta meminta izin darinya untuk ke Johor Bharu, dia berang sekali. Tetapi, apabila melihat air mata Cinta, dia jadi cair. Dia sendiri yang membawa Cinta ke Johor Bharu untuk mengambil slip keputusan SPM Cinta.
Dia tidak tahu mengapa dia boleh menjadi cair apabila melihat Cinta mengalirkan air mata. Selepas itu, Cinta tidak berani lagi meminta izin darinya untuk keluar dari rumah. Tetapi, hari ini sekali lagi perkara itu berulang.
“Kau nak keluar dari rumah ni?” tengking Reth.
Menggigil Cinta dibuatnya, “tak, uncle. Cinta hanya keluar pada waktu malam saja. Cinta janji, habis saja solat terawih di masjid, Cinta akan pulang ke rumah. Cinta janji!” Cinta menangis. Dia amat takut ketika ini. Dia takut Reth akan memarahinya seperti dulu. Dia menunduk sahaja memandang lantai, langsung tidak berani memandang wajah Reth.
Cinta menyambung kata apabila dilihatnya Reth hanya membatu tanpa memberikan keizinan, “Cinta janji, Uncle.. Cinta janji Cinta tak ke mana-mana. Cinta hanya nak bersolat saja. Dulu, papa selalu bawa Cinta pergi solat di masjid. Cinta rindu..”
“Papa?” perlahan sahaja Reth menuturkan perkataan itu. Ya, papa pada Cinta bermaksud abang padanya. Abangnya, Kaith. Sungguh, dia amat merindui abangnya itu. Reth memaling wajah memandang Cinta. Terlayar saat-saat manis dia bersama abangnya ketika kecil dulu. Kaith.. rindunya aku pada kau!
“Baiklah, kau boleh pergi tapi kau kena balik semula ke rumah sebelum pukul 12 malam. Kau lambat, aku takkan bagi kau keluar rumah sampai bila-bila lagi! Kau faham, Cinta?”
“Faham. Cinta faham, uncle. Cinta janji tak balik lewat. Terima kasih uncle.. terima kasih.” Cinta sangat gembira sehingga tidak sedar dia sudah memeluk lelaki yang selama ini selalu bersikap berang padanya. “Ita sayang papa! Ita sayang papa. Thanks papa.” Tanpa sedar juga Cinta mencium pipi Reth. Cinta benar-benar menganggap di hadapannya kini adalah papanya.
Reth tergamam. Papa?
“Hoi!!” terdengar suara seseorang menjerit dari luar bilik bacaan. Reth menoleh. Cinta segera melepaskan pelukan. Dia mengucap panjang. Ya ALLAH! Apa yang sudah aku lakukan ini? Lilian di muka pintu kelihatan seperti singa betina. Bila-bila sahaja Lilian akan melenting dan memarahi Cinta.
“Reth? Apa semua ni?” soal Lilian dengan dada yang berombak. Dia bercekak pinggang. Matanya tepat memanah ke arah Cinta. “hei perempuan sial! Berani kau peluk dan cium laki aku?”
Terketar-ketar bibir Cinta. Dia tidak sengaja. Sumpah, dia tidak sengaja. Dia terlalu gembira sehingga tidak menyedari yang di hadapannya tadi adalah Reth bukan papanya. “ma.. maaf, auntie. Ci.. Cinta tak sengaja..”
“Tak sengaja?” Lilian menghampiri Cinta. Bahu Cinta ditolaknya kasar, “tak sengaja kau cakap? Dasar perempuan tak tahu malu! Mak dengan anak sama saja.” Kepala Cinta ditunjal-tunjalnya tanpa perasaan. Cinta hanya diam tanpa melawan. “ma.. maaf!”
“Sudahlah Lilian, dia tak sengaja.” Bela Reth. Sepantas kilat Lilian memutar kepalanya beralih kepada Reth. “Reth! Sejak bila kau pandai nak bela si budak sial ni? Oh, dapat peluk, cium je kau mula lembut hati? Kau tak ingat ke apa mak budak ni buat pada kita? Pada Morgana, your mother?” berang Lilian.
Reth menggeleng, “aku tak pernah lupa, Lilian. Sudahlah! Aku benci dengar suara kau memekik-mekik dalam rumah ni. Sakit telinga aku!” Reth memandang Cinta, “pergi masuk bilik kau sekarang, sebelum aku seret kau!” Cinta menurut. Terkocoh-kocoh dia meninggalkan bilik bacaan.
Dari luar dia dapat mendengar suara Lilian yang sedang memarahi Reth. Reth pula hanya bersuara bila perlu. “Ahh, semua ini salah aku!” Cinta mengutuk dirinya sendiri.
“Kau cakap dengan siapa, Cinta? Apa yang kecoh-kecoh kat atas tu?” tiba-tiba Sophie menepuk bahunya. Cinta menggeleng laju, “tak tahu, tak tahu. Saya tak tahu apa-apa.” Cinta terus melulu masuk ke dalam biliknya. Selagi namanya tidak di panggil, dia tidak akan keluar dari bilik.

No comments:

Post a Comment