Nov 22, 2011

KAC prolog

CUACA yang panas membahang lansung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjalan. Entah mengapa hari ini apa yang dilakukannya semua serba-serbi tidak kena. Hatinya pun berasa tidak senang sejak awal pagi dia memijak lantai sekolah. Lambaian Papanya tadi bagaikan menghantar mesej yang dia sendiri tidak tahu apa ertinya.
“Kenapa papa pelik ya hari ini? Selalunya tak macam ini pun,” Cinta bercakap seorang diri sambil kakinya terus berjalan memijak jalan tar yang berwarna hitam itu.
“Hoi, Cin!!” Cinta menoleh. Hafizi, Pelajar tingkatan 6 atas, sedang melambai-lambai tangan sambil memekik-mekik memanggil namanya. Cinta memandang hadapan semula dan meneruskan perjalanannya. “ee.. apalah masalah mamat ni? Sudahlah tengah panas ni. Sengajalah tu nak kasi aku tangan-tangankan dia tengah-tengah panas ni.” ngomel Cinta seorang diri.
“Hoi Cin, berhentilah! Aku ada benda nak cakap dengan kau ni.” pekik Hafizi lagi.
Cinta tidak menghiraukan Hafizi. Dia terus berjalan. “Cin!!” tangannya disambar dari belakang. Cinta merengus geram, “nak apa ni, Fizi? Cin nak baliklah!”
Hafizi terbongkok-bongkok menahan lelah. Penat sungguh dia mengejar Cinta. Cinta, memang begitulah perangainya, tidak pernah menghiraukan mana-mana lelaki yang mahu mendekatinya. Nasiblah Hafizi, abang kepada teman karibnya, Halini.
“Menonong.. je kau jalan, aku.. aku panggil kau tadi.. tak dengar ke? Nak terkeluar anak tekak aku jerit nama kau!” tercungap-cungap Hafizi di hadapan Cinta. Cinta, seperti biasa, menayang muka tidak berperasaannya.
“Siapa suruh jerit?” selamba Cinta membalas.
“Dah kau pekak sangat. Kau sengaja je kan buat-buat tak dengar?”
Cinta menjeling, “nak apa ni? Cin nak baliklah!”
“Papa kau tak jemput kau ya?” Cinta menggeleng, “entah. Dah lebih sejam Cin tunggu tapi papa tak sampai-sampai. Papa ada meeting mengejut kut. Alah, rumah dekat je, Cin boleh balik jalan kaki.” 
Hafizi mengangguk-angguk kepala. “mana Lini? Dia dah balik ya?” tanya Cinta pada Hafizi. Hafizi mengangguk, “aku ada kelas, dia balik dulu. Err.. Cin, aku nak cakap…” cepat-cepat Cinta memotong. Dia tahu apa yang mahu lelaki di hadapannya itu katakan, “Cin hauslah! Cin pergi gerai tu kejap ya.” Cinta terus membuka langkah menuju ke arah gerai yang menjual air tebu di seberang jalan.
“Cin! dengar dulu apa yang aku nak cakap ni.” Hafizi menarik tangan Cinta. Dengan pantas Cinta melepaskan tangannya dari terus dipegang oleh Hafizi, “tak payah pegang-peganglah! Nak cakap apa? Cin dengarlah ni!”
Hafizi akur. Dia menarik sedikit baju kurung putih yang dipakai Cinta. Bukan bertujuan buruk, dia mahu Cinta dekat sedikit padanya. Apa yang ingin dikatakan nanti mungkin akan membuat Cinta menjadi hilang kawalan dan dia bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku nanti. “kenapa ni? Cakap jelah!”
“Sebelum tu, Cin sabar ya? Err.. tadi Cikgu Rohaiya cari Cin tapi Cin dah balik..”
“Kenapa Cikgu cari Cin?” soal Cinta ketika Hafizi masih merangka ayat. “err.. papa dan mama Cin accident.. meninggal di tempat kejadian.”
“Apa??”

SEMUA mata memandang Cinta. Semua tetamu yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir buat arwah Kaith dan Maisarah, berasa simpati pada nasib anak yang baru kehilangan orang tua itu. Cinta masih muda dan masih bersekolah. Tahun ini dia akan menduduki SPM. Semoga Cinta dapat menempuh dugaan hidup ini dengan tabah.
“Urusan semua dah selesai. Lepas zuhur nanti, jenazah boleh dikebumikan.” Kata Pak Iman Nordin. Cinta dengar itu tapi dia hanya diam sahaja. Air mata sudah kering. Dia sudah tidak larat lagi mahu menangis. Orang ramai yang datang menziarah langsung tidak ditegurnya. Dia hanya duduk di sebelah jenazah papanya sambil bersandar di dinding.
“Cinta.. Cinta cium papa dan mama, nak.” Arah Hajjah Norsiah. Cinta diam. Hajjah Norsiah perpandangan dengan tetamu wanita yang lain. Dia bagai meminta yang lain membantunya memujuk anak yang sedang bersedih di hadapannya itu.
Hajjah Mariam menggeleng. Dia bangkit menghampiri Cinta, bahu Cinta diusap-usapnya perlahan, “Cinta.. cium papa dan mama, nak..” sekali lagi dia di suruh mencium papa dan mamanya. Cinta menggeleng.
“Macam mana ni, Kak Yah?” Hajjah Mariam memandang Hajjah Norsiah.
“Lini boleh pujuk dia agaknya. Lini.. pujuklah Cin tu.” Puan Hanum, ibu kepada Halini meminta anaknya memujuk Cinta. Halini akur. Dia menghampiri Cinta. Belakang badan temannya itu diusap lembut, “Cin.. ciumlah papa dan mama kau..” lembut sahaja Halini berkata.
“Kalau aku cium, papa dan mama aku bukan boleh hidup balik, Lini..” semua tetamu yang hadir tercengang mendengar kata-kata Cinta. Halini mencapai tangan Cinta dan diusapnya, memberi kekuatan dan semangat pada Cinta.
“Tak baik kau cakap macam tu, Cin. ALLAH sayangkan papa dan mama kau.”
“Habis aku? ALLAH tak sayang aku ke Lini? Kenapa ALLAH tak ambil aku sekali? Aku dah tak ada siapa, Lini..” setitis air mata gugur di pipi Cinta.
“Cin.. kau ada aku. Aku sentiasa ada untuk kau. Janganlah macam ni..” pujuk Halini. Dia mahu menangis tetapi dia harus kuat. Jika dia lemah bagaimana pula Cinta?
“Cin.. cium papa dan mama kau. Lepas zuhur dia orang nak kebumikan papa dan mama kau dah. Takkan kau tak nak cium papa dan mama kau buat kali terakhir?” pujuk Halini lagi. Lembut sahaja suaranya memujuk Cinta.
Cinta mengangguk lemah. Dia bergerak sedikit menghampiri jenazah mamanya, “Lap air mata tu dulu, nak..” pesan Hajjah Norsiah.
Cinta akur. Dia mengesat air matanya dengan belakang tapak tangannya. Perlahan-lahan dia membongkokkan kepala. Dahi dan pipi mamanya di cium lama, “Ita sayang mama..”
“Papa kau pula, Cin..” Halini menarik kain yang menutupi wajah Encik Kaith. Cinta memandang lama wajah pucat lesi papanya, “Ita pun sayang papa. Sayang sangat-sangat.” Dahi dan pipi papanya dicium lama.
Antara papa dan mama, Cinta lebih rapat dengan papanya. Encik Kaith senang memanjai Cinta sementalah, Cinta Kaisara itu seorang sahaja permata hatinya. Dia tiada anak lain. Cinta satu-satunya zuriat penyambung keturunannya, tanda cinta dia dengan isterinya. Kerana itu jugalah nama Cinta agak unik berbanding teman-temannya di sekolah.
Cinta Kaisara binti Kaith Abdullah. Kaisara adalah gabungan nama Kaith dan Maisarah. Manakala Cinta, adalah sebagai tanda cinta mereka berdua setelah sembilan tahun mendirikan rumah tangga dan baru dikurniakan cahaya mata.

SUDAH lebih lima jam, jenazah selamat dikebumikan. Tetamu yang hadir sudah ramai yang pulang. Cinta masih berteleku di atas tanah berhadapan dengan kubur papanya. Papa dan mamanya di tanam bersebelahan. Cinta amat berharap, jika dia sudah tiada nanti, dia ditanam bersebelahan dengan kubur papa dan mamanya.
“Cin.. mari balik. Dah nak gelap ni.” ajak Puan Hanum. Cinta mendongak memandang ibu Halini yang sudah berdiri. “Cin nak balik ke mana, makcik? Cin dah tak ada siapa. Boleh tak Cin duduk di sini? Cin nak teman papa. Nanti malam-malam, siapa nak tidur sebelah papa? Nanti papa tak boleh tidur.” Kata Cinta tanpa perasaan. Wajahnya tetap pada Puan Hanum.
Puan Hanum memaling wajah. Dia tidak sampai hati melihat Cinta berkata begitu. Kasihan sungguh Cinta.. “Cin, kita balik ya?” ajak Encik Shaari, ayah Halini.
Cinta menggeleng, “Cin nak balik ke mana, pakcik? Siapa nak jaga Cin? Cin tak nak duduk rumah tu seorang diri. Lini.. Lini.. kau duduk dengan aku ya?”
Halini memandang kedua ibu bapanya. Encik Shaari tersenyum, “Lini boleh tidur sekali-sekala kat rumah Cin, kalau Cin nak. Bila-bila pun Cin boleh tidur rumah pakcik.”
“Tapi..”
“Cinta, jom balik!” terdengar suara seseorang memekik memanggil Cinta. Cinta menggeleng berkali-kali. “Cin tak nak pergi mana-mana. Cin nak papa!!”
“Hei, kau jangan nak mengada-ngada kat sini. Jom balik!” Reth menarik tangan Cinta mengikutnya ke kereta. “Lini! Tolong aku Lini.” Rayu Cinta sambil berusaha melepaskan tangannya dari cengkaman Reth, adik kepada papanya.
“Siapa tu, ayah? Kenapa dia buat macam tu kat Cin?” Hafizi mahu mengejar Cinta tetapi di tahan oleh ayahnya. “Tu adik arwah pakcik Kaith. Janganlah campur hal keluarga mereka.” Pesan Encik Shaari.
“Tapi bang.. Cin tu..” Puan Hanum pula ingin mendapatkan Cinta tetapi Encik Shaari sekali lagi menghalang, “Abang kata jangan campur, jangan campurlah! Mereka tu tak serupa manusia!”
“Habis tu? Takkan nak biarkan saja dia orang buat macam tu kat Cin, ayah?” Halini yang dari tadi diam, bersuara. Encik Shaari menggeleng, “Kita bukan siapa-siapa Cin. Arwah sendiri dah amanahkan Cin pada mereka.”
“Dia orang jaga Cin? Tapi..”
“Sudahlah, jom balik.” 

No comments:

Post a Comment