Feb 14, 2012

KAC 7

“MASUKLAH..” pelawa Azman.
Perlahan-lahan Cinta menanggalkan selipar dikakinya. Di melangkah masuk ke dalam rumah sewa milik lelaki itu. Keadaan rumah itu tampak bersih dan kemas. Ada sebuah televisyen di ruang hadapan rumah teres setingkat itu. Sofa berangkai tiga terletak elok di hadapan meja kecil. Meja kecil itu sarat dengan buku-buku yang Cinta sendiri tidak tahu siapa empunya tuannya.
“Awak duduk dulu ya.” Ujar Azman.
“Awak! Awak cakap kita tak berdua dalam rumah ni?” tanya Cinta inginkan kepastian. Dia tidak mahu terlepas dari mulut harimau tapi masuk ke dalam mulut buaya. Walaupun Azman kelihatan seperti orang baik-baik tetapi perasaan was-was tetap terselit dalam diri Cinta terhadap lelaki yang sudah membantunya itu.
Azman tersenyum, “awak janganlah risau. Sekejap, saya nak panggil kakak saya. Dia dah tidur agaknya.”
“Eh tak apalah, jangan ganggu dia.”
“Mana boleh, Cinta. Habis tu, awak nak tidur dengan saya ke? Dalam rumah ni ada tiga bilik saja. Satu bilik saya, satu lagi bilik kosong tapi saya jadikan stor rumah ni dan satu lagi bilik tetamu. Bilik tetamulah yang kakak saya guna sekarang. Kalau tak kejut dia, nanti lagilah terkejut dia bangun pagi esok tengok ada orang tidur dalam bilik dia.” terang Azman.
Cinta hanya mengangguk. Kalau begitu kata Azman, dia mahu apakan lagi? Sudahlah menumpang, banyak kerenah pula. Lebih baik diam dan menurt sahaja.
“Cinta, ni kakak saya, Kak Suraya.”
Wanita tinggi lampai, berambut panjang dan berkulit putih yang berdiri di sebelah Azman itu tersenyum pada Cinta. Cinta membalas senyuman wanita itu.
“Cinta ya namanya?” soal Suraya ingin beramah mesra.
Cinta mengangguk, “maaf kak, saya menganggu akak tidur.” Suraya menggeleng kepala, “tak menganggu pun. Akak belum tidur lagi, ada kerja sikit nak buat sebelum balik Brunei esok.”
“Cinta duduk dululah ya? Akak nak siapkan bilik, bersepah sikit tadi. Man, pergilah buatkan air. Ada sikit agar-agar coklat petang tadi akak letak dalam peti ais. Potonglah dan hidangkan kat Cinta ni.”
“Eh, tak payahlah kak. Susah-susah saja. Saya datang malam-malam ini pun dah menyusahkan.” Cinta menolak. Dia segan dengan Suraya. Apalah yang ada di benak wanita it agaknya. Janganlah dia menganggap Cinta gadis yang tidak baik.
“Tak apa. Man, pergilah. Cinta duduk dulu ya?” ujar Suraya dan berlalu pergi meninggalkan Cinta seorang diri di ruang tamu rumah. Azman membontoti kakaknya menuju ke dapur.
“Man! Kau kenapa pandai-pandai bawa balik perempuan ke rumah ni? Entah-entah akak di Brunei, dah selori perempuan kau heret ke rumah ni ya?” sembur Suraya. Namun suaranya di perlahankan agar Cinta tidak mendengar perbualan mereka adik-beradik ini.
“Man tolong dia je kak. Eh, mana ada Man bawa perempuan masuk rumah. Ini pun, akak ada sekali kan? Man mana berani bawa perempuan masuk rumah kalau akak tak ada.” Azman membela diri.
“Kenapa kau nak tolong dia? Kau kenal ke dia?”
“Nama dia Cinta. Kan Man dah bagitahu akak tadi.” Azman mengeluarkan loyang berisi agar-agar coklat buatan kakaknya lalu diletakkan di atas meja dapur.
“Habis, sampai bila dia kat sini? Esok akak nak balik Brunei dah, Man. Kau jangan pandai-pandai nak bagi dia duduk sini kalau akak tak ada. Kalau kena tangkap basah, siapa yang nak menjawab?”
Azman memotong agar-agar itu menjadi bentuk empat segi dan disusunnya di dalam pinggan kaca. Air cordial perisa epal dituangnya ke dalam jag air yang sederhana besar. Dia sudah terbiasa membuat kerja-kerja rumah semenjak kakaknya tidak lagi tinggal di Malaysia.
“Iye kak, Man tahu. Dia tumpang hari ni aje, esok Man hantarlah dia kat stesen bas ke teksi ke. Dia nak balik Johor.”
“Kenapa kau kena bawa dia kat sini, Man? Akak tak fahamlah. Bukan ke banyak hotel-hotel kat sekitar sini. Dia tak boleh bermalam kat hotel ke? Ya Allah! Nanti apa pulak kata jiran-jiran kita, Man.”
“Bukan macam tu kak. Memang mula-mula Man ada usulkan dia bermalam di hotel saja tapi dia cakap dia tak ada duit nak bayar sewa bilik untuk satu malam. Itu yang Man bawa dia ke mari.”
“Hah! Baik sangatlah hati kamu tu, Man. Entah siapalah yang kau bawa balik tu. Mana tahu budak tu lari dari rumah ke, dah satu hal pulak kalau polis datang sini.” Bebel Suraya tidak berhenti.
“Sudahlah kak. Esok Man janji, dia tak tidur sini lagi. Malam ni saja. Akak pergilah siap bilik tu cepat, Man dah siap minuman dengan agar-agarnya ni.”
Suraya menggeleng kepala. Dia tidak tahu mahu berkata apa lagi, “suka hati kau lah, Man.” Kata Suraya dan masuk ke dalam bilik.

DI RUANG TAMU, Cinta membantu Azman menuangkan air jus epal ke dalam gelas. Azman ada menolak tadi tetapi Cinta tetap berkeras. Dia benar-benar rasa tidak enak pada Azman dan kakaknya, Suraya.
“Saya ni menyusahkan awak saja.” Cinta mengeluh.
“Eh, tak adalah. Satu hari saja, tak ada yang menyusahkan pun. Oh ya, esok saya hantar awak ke stesen bas, pukul berapa ya?” soal Azman.
Cinta diam. ‘Ah sudah! Apa pulak aku nak jawab ni’, gelabah Cinta dibuatnya, “err.. err.. awak tak payahlah hantar saya ke stesen bas esok. Saya boleh pergi sendiri esok. Terima kasihlah ya.”
“Eh, tak apa ke? Awak cakap, awak tak tahu sangat jalan kat Melaka ni. Lagipun, awak tak ada duit kan?”
“Ada, tapi tak lah banyak. Setakat nak bayar duit tambang teksi atau bas, cukuplah. Terima kasih ya, awak. Awak baik sangat, tak tahu macam mana saya nak balas budi awak ni.”
Azman tersenyum. Manis. “Tak apalah. Eh, jemputlah makan.” Pelawa Azman. Cinta akur. Agar-agar coklat berbentuk empat segi itu di masukkannya ke dalam mulut perlahan-lahan. Sedap. Teringat pula, dia selalu membuatkan agar-agar sebagai pencuci mulut selepas makan malam untuk keluarga Reth. Bagaimanalah kalau mereka sudah pulang nanti? Akan risaukah mereka akan ketiadaannya di rumah?
“Cinta.. bilik dah siap. Akak dah bentangkan toto untuk Cinta tidur nanti. Tak apa ke kalau kita tidur bawah? Katil bersepahlah, Cinta. Akak tak tahu nak letak barang-barang pejabat akak tu kat mana. Esok baru ingat nak berkemas.” Kata Suraya sebaik menyiapkan tempat tidur untuk Cinta.
“Menyusahkan akak saja.” Balas Cinta. Dia menunduk kepala. Malu tidak terkata.
“Tak menyusahkan pun. Cintakan tetamu.” Kata Suraya dan menghadiahkan jelingan tajam pada adiknya, Azman.
Cinta mengekori Suraya masuk ke dalam bilik. Bilik itu tidaklah begitu luas. Hanya menempatkan sebuah katil berkembar di tengah-tengah bilik dan sebuah almari kecil untuk mengisi baju serta sebuah meja sederhana panjang yang penuh dengan buku-buku. Cinta menghampiri meja yang penuh dengan buku-buku itu.
“Cinta nak baca? Bacalah.” Pelawa Suraya.
Cinta menggeleng kepala. Buku novel bertajuk Andai Itu Takdirnya karya Siti Rosmizah di capainya. Buku itu kelihatan agak tebal. Kalau Cinta ingin membacanya, bila pula mahu habis bacaannya? Hendak meminjam dari Suraya? Bila pula masanya untuk Cinta memulangkan kembali buku novel tersebut?
Dari sinopsis yang dibacanya di kulit belakang buku novel tersebut, jalan ceritanya tampak menarik. Pengarang mendapat idea menulis cerita tersebut melalui mimpinya. Benarkah? Cinta sangat teruja pula ingin mengetahui jalan ceritanya yang sebenar.
“Cinta kalau baca buku novel ni kak, mahu berhari-hari barulah habis membacanya. Kalau nak pinjam dekat akak, bila pulaklah Cinta nak pulangkannya. Tak apalah, nanti Cinta cuba cari buku novel ini di mana-mana.” Terang Cinta sambil tersenyum manis pada Suraya.
Suraya membalas senyuman Cinta. Dia menghampiri Cinta dan menarik tangan Cinta untuk duduk di atas katil. Cinta hairan tetapi dia ikutkan sahaja langkah Suraya itu.
“Akak tanya ni, Cinta jangan berkecil hati ya?” kata Suraya.
“Tanya apa kak? Tanya sajalah.” Balas Cinta dan masih lagi tersenyum.
“Cinta dari mana sebenarnya? Cinta lari rumah ya?” serkap jarangnya.
Cinta menunduk. Dia buntu. Perlukah dia menceritakan hal yang sebenar? Khuatir Suraya menganggapnya ingin memperalatkan adiknya, Azman. Tidak. Bukan itu maksudnya. Dia sama sekali tidak ingin memperalatkan Azman. Azman kebetulan membantunya ketika itu. ‘Oh tuhan, janganlah wanita di hadapan ini menyangka buruk terhadapku.’ Doa Cinta di dalam hati.
“Ya, Cinta lari dari rumah. Cinta tak tahu nak ke mana sebenarnya tapi…”
Belum sempat Cinta bercerita, Suraya sudah mencelah, “tapi Azman cakap Cinta hanya menumpang bermalam. Esok Cinta nak ke Johor kan? Kampung Cinta di Johor kan?”
Cinta mengangguk, “ya, Cinta asal dari Johor. Lepas saja arwah papa dan mama Cinta meninggal, Cinta duduk di Melaka dengan keluarga pakcik saudara Cinta.”
“Oh, kalau macam tu, mari akak hantarkan Cinta ke rumah keluarga Cinta.” Usul Suraya.
Cinta menggeleng kepala, “tak nak! Cinta tak nak balik rumah pakcik lagi. Cinta takut. Cinta nak balik Johor tapi Cinta tak tahu rumah Cinta masih ada lagi atau tidak. Sudah lebih tiga tahun Cinta meninggalkan Johor. Cinta tak ada sesiapa lagi.” Cinta menangis teresak-esak. Dia tidak peduli jika Suraya menganggapnya cuba meminta simpati.
“Tak apalah kak, esok Cinta balik jugaklah ke Johor. Mungkin Halini masih tinggal di sana. Halini ada janji dengan Cinta yang dia tak akan tinggalkan Cinta. Maaflah menyusahkan akak dan Azman. Tapi Cinta minta izin dari akak nak bermalam di sini, Cinta tak tahu jalan di Melaka ini.” Sambung Cinta lagi.
Suraya mengangguk. Dia tidaklah kejam untuk menghalau dan membiarkan gadis yang masih muda seperti Cinta berkeliaran di waktu malam. Dia juga mempunyai anak gadis yang sudah meningkat remaja.
 “Baiklah akak izinkan. Esok pagi, akak minta Azman hantarkan Cinta ke stesen bas sebab tengah hari esok akak dah kena balik Brunei. Flight akak pukul empat petang. Bukan akak tak nak tolong Cinta tapi akak risau kalau Cinta tinggal di sini jika akak tiada. Nanti apa kata jiran-jiran. Azman tu bujang.”
“Terima kasih kak.”

DI LUAR BILIK, Azman tidak sengaja mendengar perbualan kakaknya dengan Cinta. Dia menjadi kasihan pada Cinta. Dari awal lagi Azman dapat merasakan sesuatu yang tidak kena pada Cinta. Pada mata Cinta, dia tahu yang Cinta tidak menipu. Air mata Cinta tadi adalah air mata yang asli bukan dibuat-buat.
“Ada lagi rupanya orang yang hidup ala-ala kisah Bawang Putih Bawang Merah pada zaman ni. Haih.. macam-macam.” Kata Azman dan berlalu pergi. Suis lampu ruang tamu di padamkan.
Suraya memerhati wajah Cinta yang sedang lena disebelahnya. Nasib Cinta sama sepertinya dan Azman, tidak beribubapa. Seawal usianya tujuh belas tahun, dia sudah bekerja untuk menyara hidup sejak kematian arwah ibu dah bapanya. Azman adalah amanat dari ibubapanya untuk di jaga.
Sehingga kini, walaupun dia sudah berumah tangga dan menetap di Brunei, Azman masih lagi di bawah kawalannya. Sudah lebih dua puluh tahun dia menjaga Azman, takkanlah begitu mudah dia hendak melepaskan Azman biarpun dia sudah bersuami.
Dahulu, pernah orang-orang kampung memberi usul supaya Azman di hantar ke rumah anak-anak yatim atau di beri sahaja kepada orang lain untuk di jaga tetapi Suraya membantah. Dia bertegang urat dengan orang-orang kampung semata-mata ingin mempertahankan Azman. Sehinggalah dia mengambil keputusan untuk tinggal sendiri di Melaka dan menjaga Azman dengan hasil titik peluhnya sendiri.
Tetapi, nasibnya masih baik tidak seperti Cinta yang tidak mempunyai sesiapa. Ya, menurut Cinta dia mempunyai pakcik saudara tetapi itu tidak sama dengan keluarga sebenar. Pasti Cinta amat terseksa.
“Bersabarlah dik. Mungkin ada tuah untuk kau di hari lain.” Bisik Suraya perlahan.

No comments:

Post a Comment