Nov 23, 2011

KAC 5

Enam bulan kemudian,

SUASANA pejabat menjadi senyap secara tiba-tiba sebaik mendengar suara pemilik syarikat Z&N SDN BHD sedang memarahi salah seorang dari pekerjanya. Haziq Ikhsan, memang dikenali oleh pekerjanya dengan sikapnya yang panas baran. Malangnya, sebelum ini lelaki berusia 30 tahun itu perangainya tidaklah seperti ini. Dia seorang majikan yang sangat peramah dan sangat pemurah.
Cuma, sejak akhir-akhir ini sikapnya berubah secara mendadak. Tidak ada yang berani menegurnya dan pada setiap hari ada sahaja pekerja yang akan menjadi mangsa maki dan hamunnya. Jika tiada kesabaran, mungkin sudah lama mereka meninggalkan syarikat yang menjalankan perniagaan bekalan bahan mentah itu.
“Apa hal kau ni?! Tak kan kerja senang macam ni pun tak boleh nak handle? Buat rugi saja aku bayar gaji kau kalau kerja kau macam ni!”
“Maaf, Encik Haziq tapi saya dah uruskan semuanya ke….” Hurain, pekerja yang baru sahaja berkerja dengan Z&N SDN BHD dalam beberapa bulan, terangkat sedikit bahunya dek terkejut akan ketukan yang kuat oleh Haziq ke meja kerjanya. Langsung tidak terkata dibuatnya.
“Uruskan apa kalau jadi macam ni, hah? Kau ingat aku bodoh macam kau nak semak benda ni banyak kali? Berapa kali aku cakap, aku tak nak mengadap semua ni! Yang aku tahu, aku tinggal tanda tangan saja. Kau faham ke tidak?!” tengkingnya lagi.
“Ma.. maafkan saya Encik Haziq, saya akan semak semula dokumen ini.”
“Bagus! Kau keluar sekarang. Aku tak nak tengok muka kau selagi kau tak settlekan kerja kau. Berambus!!”
Cepat-cepat Hurain melangkah meninggalkan bilik pejabat majikannya itu. Sebenarnya, dia sudah tidak dapat bertahan lagi dengan perangai majikannya itu. Kerjanya sebagai Pembantu Pengurus Pemasaran, benar- benar mengugat kesabarannya. Bukan sedikit kesalahan yang Haziq lambakkan ke bahunya. Kadang-kadang, salah Haziq sendiri tetapi dia yang terpaksa tanggung azabnya.
Mengalir air matanya sebaik dia melabuhkan punggung di kerusi kerjanya. Hari ini, sudah tiga kali dia di marahi oleh Haziq. Bukan dia sahaja, Shamry dan Zizan juga menjadi mangsa Haziq hari ini. Inilah nasib pekerja bawahan sepertinya.
“Kenapa lagi Encik Haziq tu, Ain?” soal Shamry ingin tahu. Hurain menggeleng kepala, “entah, aku tak tahulah apa masalah Encik Haziq tu. Balik-balik aku saja yang kena. Bukan salah aku pun. Ini.. ini semua sepatutnya kerja dia tapi aku pulak yang kena buat. Bila dah salah macam ni, aku jugak yang di salahkan.” Adunya.
“Bukan kau saja yang kena, Ain. Aku ni hah.. baru jalan depan bilik dia pun dah disemburnya. Katanya aku suka merayap ke tempat orang, makan gaji buta. Ada ke patut?” kata Razlan pula tidak puas hati.
“Memang patut pun kau kena sembur dengan dia. Tempat kau kat mana, Lan? Bukan main jauh lagi kau merantau sampai ke sini.” Lily bersuara. Razlan mencebik, “iyalah, aku pergi balik tempat akulah. Bising je kau ni.”
“Sabarlah, Ain. Dia jadi macam tu ada sebab. Kalau kau tahu sebabnya nanti, kau mesti akan faham kenapa dia macam tu. Sudahlah, buat sajalah apa dia suruh tu. Sabar saja dengan perangai dia.” pujuk Zizan.
Semua mata tertumpu ke arah Zizan. “kenapa dia jadi macam tu, Zan? Dah setahun lebih aku kerja kat sini, aku tak tahu apa-apa pun. Dulu, dia seorang boss yang baik kan? Kenapa sekarang dia dah lain?” soal Lily.
“Kau pergilah tanya dia sendiri.” jawab Zizan. “laa.. kau kan dah lama kerja dengan dia? ceritalah kat kami ni.” pujuk Lily. Shamry menggeleng kepala, “aku tak nak masuk campur, Zan. Aku chau dulu. Bye!” Shamry terus berlalu ke tempatnya semula.
“Nanti kau akan tahu jugak. Sudahlah, aku nak sambung kerja aku. Kau sabar je lah Ain. Encik Haziq tu baik sebenarnya, dia tertekan saja tu.”
Hurain mengangguk sahaja. Dia malas sebenarnya ingin tahu tentang lelaki yang sudah membuat dia mengalirkan air mata. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia berhenti kerja sekarang juga tetapi kerana memikirkan ibunya di kampung, dia terpaksa cekalkan diri menerima segala caci dan maki dari majikannya itu.

SEPERTI biasa, Cinta hanya akan keluar dari bilik sekiranya Reth memanggilnya jika Jacob datang ke rumah. Tetapi, hari ini Reth tidak membenarkan Cinta masuk ke dalam biliknya, dia mahu Cinta duduk di ruang tamu bersamanya. Cinta pelik dengan permintaan Reth itu tetapi dia akurkan saja. Siapa dia mahu membantah kata-kata Reth.
“Err.. Cinta sihat?” tanya Jacob. Mata gatalnya meliar di segenap tubuh Cinta. Gatal! Cinta menjeling geram lelaki tua itu, “sihat.” Jawabnya malas.
“Sudah Jacob! Aku suruh dia duduk sini supaya kau tak gatal nak beri alasan nak ke tandaslah ke dapurlah padahal kau nak mengintai Cinta di biliknya. Kau ingat aku tak tahu?”
Jacob tersengih-sengih, “alah, Reth apa salahnya aku tanya khabar si Cinta ni? Eh, mana ada aku intai dia, kau ni pandai-pandai saja.” Jacob membela diri.
Reth diam. Jacob juga diam tetapi matanya tidak lepas dari memandang Cinta. Cinta rimas. Dia tidak mahu duduk dekat dengan lelaki tua itu tetapi dia takut jika dia meninggalkan ruang tamu, Reth akan memarahinya.
Nasibnya baik apabila tiba-tiba telefon rumah berbunyi. Reth meminta dia menjawab panggilan itu. “baik, auntie. Cinta bukakan pintu sekarang.” Terus Cinta berlari anak ke pintu utama dan membukakan pintu untuk Lilian.
“Hah kau Jacob, apa khabar?” sapa Lilian sebaik masuk ke dalam rumah.
“Baik.” Jawab Jacob.
“Reth, aku dah tempah tiket kita ke Sydney untuk empat orang. Lusa kita berangkat.” Beritahu Lilian. Reth hanya mengangguk.
“Empat orang?” soal Jacob. Dahinya berkerut. “Iya, empat orang. Aku, Reth dan anak-anak aku, Sophie dan Hetty.” Jawab Lilian.
“Err.. Cinta?” Lilian ketawa lepas. Jacob pula terpinga-pinga menunggu jawapan. “Cinta nak di bawa sekali, buat apa? Membazir duit aku saja.” Balas Lilian tanpa menghiraukan perasaan Cinta.
Cinta yang mendengar, hanya menundukkan kepala. Dia teringin benar melancong ke luar negara. Keluarga Reth tidak pernah membawanya ke mana-mana malah bersiar-siar di sekitar Bandaraya Melaka pun tidak pernah. Dia benar-benar di anggap seperti orang asing di dalam kelarga itu.
Jacob diam.
“Kau pergi buatkan aku air, Cinta.” Arah Reth. Cinta akur dan terus berlalu meninggalkan mereka. “Sophie dan Hetty mana?”
“Keluar. Mereka mahu membeli barang persiapan untuk ke Sydney lusa.”
“Haii, asal mahu melancong saja beli barangan baru. Tak boleh ke pakai barang yang lama saja? Aku ni bukan orang kaya, boleh keluarkan duit sesuka hati. Kau nasihatkanlah mereka supaya berjimat dalam berbelanja.” Omel Reth.
“Biarlah, bukan selalu kita melancong ke luar negara.” 

KAC 4

“KAU nak ke mana?” tegur Lilian.
Cinta menoleh ke belakang. Bibirnya terketar-ketar sebaik melihat Lilian di belakangnya. Apa jawapan yang patut dia berikan? Perlukah dia menipu? Percayakah Lilian padanya nanti? ‘Ya ALLAH, engkau bantulah aku,’ doanya di dalam hati.
“Aku tanya kau, Cinta! Kau nak ke mana malam-malam ni? Siapa izinkan kau keluar? Kerja kau dah siap ke belum?”
Cinta menggeleng, “err, Cinta.. Cinta nak ke mas…”
“Lilian! Ambilkan kunci kereta aku dalam bilik.” Tiba-tiba Reth muncul. Berkerut dahinya memandang Reth. “Kau nak ke mana pulak malam-malam ini, Reth?” soal Lilian.
Reth memandang Cinta di sebelah, “pergi tunggu aku di luar!” arahnya. Cinta hanya menurut. “kau ni kenapa, Lilian? Sejak bila ke mana aku pergi, aku perlu beritahu pada kau?” Reth menghampiri Lilian. Bahu Lilian di usapnya perlahan, “aku nak keluar sebentar. Cinta ikut aku.”
“Cinta? Kau mahu ke mana? Kenapa Cinta ikut kau?”
“Jangan banyak tanyalah Lilian, pergi ambil kunci kereta aku!” arah Reth sedikit tegas. Lilian menggeleng, “kau nak ke mana dengan Cinta, Reth? Semalam kau berpeluk dengan dia, hari ini kau mahu keluar dengan dia malam-malam begini. Apa sebenarnya hubungan kau dengan budak sial tu?” marah Lilian.
“Kau jangan fikir yang bukan-bukan. Kau lupa siapa Cinta? Bukankah kau tahu aku teramat membencinya?”
“Jadi? Kau mahu ke mana dengan dia? Aku nak ikut!”
“Masjid! Cinta mahu ke masjid. Kau nak ikut?” duga Reth. Lilian ketawa kuat, “jangan nak menipu aku, Reth! Kalau Cinta mahu ke masjid, kenapa kau perlu pergi sekali? Kau pun mahu ikut jejak langkah Kaith, memeluk agama Islam?”
“Diam! Aku tak suka kau sebut nama Kaith depan aku. Sekarang, kau pergi ambil kunci kereta aku.” marah Reth. Lilian senyum mengejek. Dia tahu Reth bagaimana, Reth tidak akan sesekali mahu mendekati agama Islam.
Walaupun begitu, Lilian akur juga. Dia mendaki tangga untuk ke bilik utama. Kunci kereta Reth di ambilnya dan di serahkan kepada Reth, “jangan kau terpedaya dengan budak Cinta tu, Reth. Aku tahu kau sayangkan dia macam anak kau sendiri. Tapi, kau kena ingat apa yang ibu bapanya dah buat pada keluarga kau.” nasihat Lilian.
“Aku tahu apa aku buat, Lilian. Kau tak perlu nak mengajar aku.” Reth terus melangkah keluar dari rumah. Dia menghidupkan kereta BMW-nya. “aku hantar kau di simpang jalan saja. Pukul sebelas aku jemput kau di situ jugak. Kau lambat, aku bunuh kau!”
“Baik, uncle..” jawab Cinta perlahan.

DI RUMAH banglo dua tingkat milik Haziq Ikhsan, Bik Asih kelam-kabut menyiapkan si kecil Hani. Puan Normala tiada di rumah, keluar ada urusan katanya. Puan Normala menitipkan Hani padanya kerana Puan Normala tahu anaknya Haziq tidak akan sesekali menyentuh Hani walau apa terjadi sekalipun.
Hani menangis tidak henti-henti dari sebelum waktu berbuka lagi. Haziq langsung tidak menghiraukan anaknya walaupun dia dengar dengan jelas suara tangisan anak kecilnya itu. Dia hanya berkurung di dalam bilik.
“Kenapa dengan budak tu, Asih?” tegur Pak Atan.
Bik Asih menggeleng, “saya pun tak tahulah, Pak. Dari tadi asyik menangis saja, tak senang duduk saya dibuatnya.” Adu Bik Asih.
Pak Atan mendongak kepala ke  tingkat atas, “kenapa tak beri saja Hani ni pada ayahnya?” Pak Atan mengambil Hani dari dukungan Bik Asih. “tuan dengar anaknya menangis tapi dia buat tak tahu saja. Tadi Hani menangis depan dia, tuan terus naik ke atas. Macam mana saya nak beri Hani padanya, Pak?”
Pak Atan menggelengkan kepala, “apalah nak jadi dengan tuan ni, kesian budak ni. Dia tak bersalah. Dah tertulis ajal Cik Puan Salina setakat itu saja, kita yang masih hidup ni kenalah terima dengan reda.” Pak Atan mengeluh sebelum meneruskan kata, “Puan tak balik lagi? Pak Atan nak ke masjid berterawih ni. Asih boleh jaga Hani?”
“Boleh tapi saya jugak nak ke masjid. Kalau saya bawa Hani sekali boleh, Pak?”
“Asih nak bawa Hani yang tak berhenti nangis dari tadi ni ke masjid? Asih duduk sajalah di rumah,  nanti menganggu orang nak solat pulak.”
“Baiklah, Pak.” Bik Asih akur.
Setengah jam kemudian, tidak kedengaran lagi suara tangisan Hani. Bik Asih menyangka pasti si kecil itu sudah tidur lalu dia terus masuk ke biliknya dan meninggalkan Hani di ruang tamu sementara dia mahu solat terawih di dalam biliknya.
“Bik Asih!!!” teriak Puan Normala tiba-tiba.
Bik Asih yang baru sahaja selesai menunaikan solat terawih terus membuka telekung dan berlari kecil untuk ke ruang tamu, “Puan sudah pulang?” sapa Bik Asih.
“Bik, mari kita bawa Hani ke hospital. Dah biru muka dia ni. Saya risau!”
“Baik, Puan.”
“Pak Atan belum balik lagi ya?”
“Belum, Puan.”
“Ya ALLAH! Teksi dah pergi pulak. Bik, tolong saya panggilkan Haziq. Kata padanya Hani perlu ke hospital dengan segera.”
“Baik, Puan!”  Bik Asih mendaki tangga untuk ke tingkat atas. Setibanya di bilik Haziq, Bik Asih terus membuka pintu bilik tanpa meminta kebenaran. Haziq yang sedang menatap gambar arwah Salina terkejut, “apa kena ni, Bik Asih? Masuk bilik saya tanpa kebenaran!” marahnya.
“Saya minta maaf tapi Hani perlu ke hospital dengan segera. Puan ada di bawah.”
“Kenapa lagi dengan budak tu? Bawa sajalah ke hospital, kenapa kena beritahu saya? Pak Atan mana?”
“Pak Atan belum pulang dari masjid lagi. Tolonglah tuan, kasihan Hani..” rayu Bik Asih.
Haziq diam, “Bik Asih turun dulu.” Bik Asih akur, “cepat ya tuan, saya risau.” Haziq hanya menganggukkan kepala. Lama dia berdiri di hadapan pintu biliknya. Hani anaknya. Bukan salah Hani, Salina meninggal, kenapa anak itu perlu di seksa sebegini? Haziq sedar selama ini dia hanya berperang dengan egonya semata-mata walhal dia sudah tahu ajal maut, jodoh, rezeki semua di tentukan oleh ALLAH.

“MAAF! Anak encik tidak dapat di selamatkan. Saya minta maaf, saya dah cuba sedaya upaya.” Kata Dr. Rushaidi lalu menepuk perlahan bahu Haziq.
“Ya ALLAH!!” Puan Normala sudah terduduk sebaik mendengar berita itu. Haziq hanya diam tanpa perasaan.
“Saya minta diri dulu.” Pinta Dr. Rushaidi.
“Bik Asih, Hani dah tak ada. Cucu saya dah meninggal, Bik.”
“Sabar, Puan..” pujuk Bik Asih.
Puan Normala bangun dan menghampiri anaknya, Haziq. “Puas hati Iq sekarang? Puas? Inikan yang Iq nak? Iq nak sangatkan Hani berambus dari hidup Iq? Puas hati Iq sekarang?!” Puan Normala terus melangkah meninggalkan Haziq diikuti Bik Asih di belakangnya.
Haziq melangkah mengikuti Puan Normala dan Bik Asih. Di dalam kereta hanya kedengaran suara esak tangis Puan Normala. Sesekali Bik Asih memujuknya. Haziq hanya diam tanpa perasaan. Dia sendiri tidak tahu sama ada dia gembira dengan pemergian anaknya ini atau sebaliknya. Hatinya kosong.
“Mama nak pergi mana?” soal Haziq apabila melihat Puan Normala mengemas pakaian dan barang-barangnya masuk ke dalam sebuah beg besar.
Puan Normala diam.
“Iq tanya ni, Mama nak ke mana?”
“Mama nak balik rumah Mama! Bik Asih dan Pak Atan ikut mama sekali. Urusan Hani, biar Mama uruskan.” Jawab Puan Normala.
“Ohhh..” Haziq melangkah ke biliknya. Puan Normala menangis lagi. Dia kecewa dengan sikap anaknya. Tidak terkesan langsungkah Haziq dengan kematian Hani? Langsung tidak adakah sekelumit perasaan sayangnya pada anak kecil itu? Sebegitu bencikah Haziq pada Hani? 
“Ya ALLAH, salah akukah semua ini? Akukah yang tidak pandai mendidik anakku? Mengapa begitu keras sekali hati anakku, Haziq Ikhsan? Ya ALLAH, jika inilah dugaan yang engkau berikan padanya sebagai petunjuk baginya ke jalan yang benar, aku reda. Engkau tabahkanlah hatinya untuk menempuh dugaan-Mu ini.” Doa Puan Normala.

KAC 3

DIA masih berteleku di atas hamparan permaidani di ruang tamu luas rumah banglo dua tingkat miliknya itu. Matanya setia menatap gambar si isteri di dalam bingkai gambar yang elok tergantung di dinding putih. Sudah satu jam dia di situ. Bukan tiada yang memujuknya untuk beredar dari situ tetapi dia langsung tidak menghiraukan suara-suara itu. Baginya, mereka tidak mengerti dan tidak akan faham apa yang sedang di alaminya kerana mereka tidak mengalami penderitaan yang di hadapinya ini.
“Sudahlah, Iq. Ina dah tak ada, jangan seksa diri Iq macam ini, nak..” pujuk Puan Normala pada anaknya yang sedang bersedih itu.
Haziq menggeleng kepala, “mama tak faham, mama tak kan pernah faham Iq..” rintih Haziq. Air matanya sudah jemu untuk mengalir. Matanya sudah membengkak akibat terlalu banyak mengalirkan air mata.
“Apa yang mama tak faham, Iq? Iq tak ingat ke masa papa Iq meninggal dunia dulu, mama macam mana? Mama terseksa, Iq. Hidup mama tunggang-langgang masa tu tapi demi Iq, demi anak mama, zuriat yang satu-satunya tanda kenangan papa pada mama, mama bangkit, nak.
Iq pun sama, Iq ada Hani. Hani perlukan Iq. Sampai bila Iq nak macam ni? Sampai bila Iq nak seksa diri macam ni? Ina dah dua minggu pergi tinggalkan kita semua. Iq langsung tak hiraukan Hani. Iq.. Hani tu anak Iq!” panjang lebar Puan Normala menasihati anaknya tetapi, Haziq hanya diam membatu. Matanya terus-terusan pada gambar arwah Salina.
“Mama tak faham..”
“Sudahlah Iq. Kalau Iq tetap macam ni, masih tak sedar-sedar, mama akan bawa Hani bersama mama. Kasihan Hani, Iq.”
Haziq diam. Puan Normala menggeleng. Setitis air matanya jatuh ke pipi. Sungguh berat ujian yang di tanggung anaknya itu. Moga ALLAH tabahkan hati anaknya itu. Dia tahu betapa dalamnya cinta Haziq pada isterinya, Salina. Salina meninggal dunia ketika melahirkan buah cinta mereka berdua, Hani Shahira binti Haziq Ikhsan nama di beri oleh arwah Salina sendiri.

PUAN NORMALA mahu membawa Hani ke klinik kerana suhu badan Hani panas. Puan Normala mula berasa bimbang apabila Bik Asih memberitahunya Hani tidak berhenti menangis dari pagi lagi dan badan si kecil itu panas.
“Iq, badan Hani panas ni. Jomlah kita bawa dia ke klinik, biar doktor periksa dia. Mama takut Hani ni ada sakit apa-apa, dia kecil lagi. Kita pergi klinik ya, Iq?” Puan Normala mengajak Haziq membawa Hani ke klinik tetapi Haziq hanya membatu, langsung tidak memberi respon.
“Iq!! Iq dengar tak apa yang mama cakap ni?”
“Apa, ma?”
“Ya ALLAH! Apa kena dengan Iq ni? Hani ni anak Iq tahu tak? Sampai bila Iq nak buat tak tahu saja? Hani perlukan Iq!” Puan Normala mula hilang sabar dengan perangai anaknya.
“Iq tak perlukan dia!!”
“Astaghfirullahaladzim. Haziq Ikhsan bin Zainal Abidin, kau sedar tak apa yang kau cakap ni?!” berang Puan Normala.
“Sudahlah, ma. Mama nak bawa dia pergi mana pun, Iq dah tak kisah. Dia berambus dari rumah ni lagi bagus. Sakit hati Iq tengok dia!”
“Iq!! Hani ni anak Iq. Dia berbinkan nama Iq. Kenapa Iq cakap macam tu?”
“Dia bukan anak Iq!!”
“.. habis dia anak siapa? Kalau Ina dengar apa yang Iq cakap ni, mesti dia kecewa dan sedih.”
“Dia penyebab Ina mati, ma. Iq benci dia!!”
“Ya ALLAH! Mengucap, nak. Tak baik cakap macam tu.”
“Mama bawalah dia ke mana mama nak, Iq tak nak tengok dia ada dalam rumah ni lagi.” Haziq terus berlalu memanjat tangga menuju ke biliknya di tingkat atas.
Puan Normala menggeleng, dia teramat kecewa dengan sikap anaknya. Dia sedih kerana Haziq masih tidak dapat menerima kenyataan yang Salina sudah meninggal, dan apa yang terjadi semua ini adalah takdir dari yang maha Esa. Dia pasti ALLAH menguji anaknya itu bertujuan, pasti ada hikmah di sebalik semua yang berlaku ini.
“Bik, kita bawa Hani ke klinik. Panggil Pak Atan suruh dia siapkan kereta.”
“Err.. tapi Puan, Pak Atan baru saja keluar. Katanya mahu ke bengkel.”
Puan Normala mengeluh, “habis, macam mana ni, bik? Badan Hani panas sangat ni. Apa kita nak buat?”
“Err.. Tuan Haziq tidak mahu bawa Hani ke klinik, Puan?
“Saya tak tahulah apa nak jadi dengan si Haziq tu. Puas saya nasihat dia, dia tetap tak nak terima Hani, padahal Hani ni anak kandung dia, bik. Saya tak tahu nak buat apa lagi, bik.”
“Sabarlah Puan. Kita tunggu saja Pak Atan balik dari bengkel ya?”
Puan Normala mengangguk. Dia memandang Hani yang berada dalam dukungannya, “papa sayang kat Hani. Papa tak benci Hani. Nenek pun sayang Hani. Hani sabar ya? Nenek janji, nenek jaga Hani.”

MALAM itu, sekali lagi Puan Normala cuba memujuk Haziq. Haziq tetap begitu, tiada hati mahu memandang Hani apatah lagi mendukung si kecil itu. Haziq benar-benar sudah mengeraskan hatinya untuk menerima Hani di dalam hidupnya. Baginya Hani adalah penyebab arwah Salina meninggal.
Dari dulu lagi Haziq tidak bersetuju Salina mengandung. Dia bukan seperti suami-suami lain yang mahukan zuriat dari rahim seorang isteri. Baginya, hidupnya sudah lengkap jika Salina ada disisinya, menemaninya sehingga hari tua mereka. Dulu, dia pernah memberi usul supaya mereka mengambil anak angkat apabila Doktor Ramlah mengatakan Salina tidak boleh mengandung tetapi Salina membantah. Kerana sayangkan Salina, Haziq ikut sahaja apa kemahuan Salina.
“Iq, tadi mama bawa Hani ke klinik. Hani sakit, Iq. Kasihan dia.”
“Sakit apa?” soal Haziq endah tak endah.
“Demam panas. Mama rasa dia rindukan papanya. Iq, Hani anak Iq. Anak kandung Iq. Sampai bila Iq nak layan dia macam orang asing? Dia tak salah, dia tak tahu apa-apa, Iq.” Pujuk Puan Normala.
“Iq tak nak cakap pasal ni, ma.”
“Iq.. sampai bila..” dengan pantas Haziq memotong kata-kata Puan Normala, “good night, ma. Nanti mama tolong tutupkan lampu ya? Iq nak tidur.”
Puan Normala mengangguk, “hari ni Hani tidur dengan Iq ya?”
“Biarlah dia tidur dengan Bik Asih. Kalau tidur sini, memekak je.”
“Kasihan Hani..” Puan Normala mengeluh panjang. Keras betul hati anaknya itu, sama seperti arwah papanya.
‘Ya ALLAH, engkau lembutkanlah hati anakku. Engkau bukakanlah pintu hatinya untuk menerima anak kandungnya, Hani. Sesungguhnya bayi sekecil Hani tidak mengerti apa-apa’ doa Puan Normala. Dia amat berharap dengan kehadiran bulan suci ramadhan ini, hati anaknya akan lembut untuk menerima dan menyayangi Hani. 

KAC 2

CINTA memberanikan diri berjumpa dengan Reth di dalam bilik bacaan milik lelaki itu. Lusa sudah mula bulan Ramadhan. Sudah tiga tahun dia tidak dapat merasa bersolat terawih di masjid berdekatan. Dia teringin benar solat terawih di masjid seperti tahun-tahun sebelum papa dan mamanya meninggal dunia.
Sudah tiga tahun dia di sini tetapi langsung tidak berkesampaian untuk keluar dari rumah. Tamat sahaja SPM, dia terus mengikut Reth berpindah ke Melaka. Dia benar-benar memulakan kehidupan yang baru di negeri Melaka ini. Sudah tiga tahun juga dia tidak mendengar khabar berita teman karibnya, Halini di Johor Bharu. Bagaimanalah agaknya keadaan teman karibnya itu?
“Kau tercegat apa kat situ?” jerkah Reth dari dalam bilik bacaan. Cinta terkejut. Dia menapak perlahan-lahan ke dalam bilik bacaan. Dia berdoa di dalam hati semoga hati Reth lembut apabila mendengar permintaannya nanti. Dia benar-benar kepingin mahu solat terawih berjemaah di masjid.
Petang tadi dia ada mendengar perbualan Reth dengan Jacob. Melalui perbualan mereka itulah, Cinta jadi berani untuk mengutarakan hal ini. Dia tahu Reth tidak melarang dia mahu mengamalkan ibadah yang di tuntut dalam Islam.
“Hmm, kau nak apa?” tanya Reth lembut sahaja. Dia langsung tidak memandang wajah Cinta. Dari awal Cinta duduk di rumahnya lagi, jarang sekali dia memandang wajah yang mirip benar dengan wajah Kaith, abang kesayangannya itu.
“Err.. Uncle, lusa.. lusa dah masuk bulan Ramadhan. Cinta..” segera kata-katanya dipotong, “so?” Cinta menelan liur. Betapa takutnya dia ketika ini hanya ALLAH sahaja yang tahu. Bagai mahu tercabut sahaja jantungnya apabila berhadapan dengan bapa saudaranya itu. Reth tampak garang tetapi dia tahu, hati bapa saudaranya itu lembut. Reth seorang yang penyayang di sebalik wajah garangnya itu.
“Kau nak puasa? Aku kan tak pernah melarang kau nak berpuasa. Bukankah selama ini pada bulan Ramadhan kau berpuasa, jadi apa yang kau mahu?”
“Cinta.. Cinta..”
“Kau jangan buang masa aku! Cakap sajalah.” Reth sudah mula naik berang tetapi dia kembali tenang apabila terdengar esak kecil datang dari Cinta, “kau mahu apa, Cinta?”
“Cinta.. Cinta dah lama tak pergi masjid. Cinta rindu nak solat terawih berjemaah macam dulu.” Cinta menarik nafas sebelum menyambung kata, “Cinta nak minta izin dari uncle untuk..”
Reth bangun dari kerusi. Dia cukup marah jika Cinta meminta izin darinya untuk keluar dari rumah. Dulu, ketika keputusan SPM Cinta di umumkan dan Cinta meminta izin darinya untuk ke Johor Bharu, dia berang sekali. Tetapi, apabila melihat air mata Cinta, dia jadi cair. Dia sendiri yang membawa Cinta ke Johor Bharu untuk mengambil slip keputusan SPM Cinta.
Dia tidak tahu mengapa dia boleh menjadi cair apabila melihat Cinta mengalirkan air mata. Selepas itu, Cinta tidak berani lagi meminta izin darinya untuk keluar dari rumah. Tetapi, hari ini sekali lagi perkara itu berulang.
“Kau nak keluar dari rumah ni?” tengking Reth.
Menggigil Cinta dibuatnya, “tak, uncle. Cinta hanya keluar pada waktu malam saja. Cinta janji, habis saja solat terawih di masjid, Cinta akan pulang ke rumah. Cinta janji!” Cinta menangis. Dia amat takut ketika ini. Dia takut Reth akan memarahinya seperti dulu. Dia menunduk sahaja memandang lantai, langsung tidak berani memandang wajah Reth.
Cinta menyambung kata apabila dilihatnya Reth hanya membatu tanpa memberikan keizinan, “Cinta janji, Uncle.. Cinta janji Cinta tak ke mana-mana. Cinta hanya nak bersolat saja. Dulu, papa selalu bawa Cinta pergi solat di masjid. Cinta rindu..”
“Papa?” perlahan sahaja Reth menuturkan perkataan itu. Ya, papa pada Cinta bermaksud abang padanya. Abangnya, Kaith. Sungguh, dia amat merindui abangnya itu. Reth memaling wajah memandang Cinta. Terlayar saat-saat manis dia bersama abangnya ketika kecil dulu. Kaith.. rindunya aku pada kau!
“Baiklah, kau boleh pergi tapi kau kena balik semula ke rumah sebelum pukul 12 malam. Kau lambat, aku takkan bagi kau keluar rumah sampai bila-bila lagi! Kau faham, Cinta?”
“Faham. Cinta faham, uncle. Cinta janji tak balik lewat. Terima kasih uncle.. terima kasih.” Cinta sangat gembira sehingga tidak sedar dia sudah memeluk lelaki yang selama ini selalu bersikap berang padanya. “Ita sayang papa! Ita sayang papa. Thanks papa.” Tanpa sedar juga Cinta mencium pipi Reth. Cinta benar-benar menganggap di hadapannya kini adalah papanya.
Reth tergamam. Papa?
“Hoi!!” terdengar suara seseorang menjerit dari luar bilik bacaan. Reth menoleh. Cinta segera melepaskan pelukan. Dia mengucap panjang. Ya ALLAH! Apa yang sudah aku lakukan ini? Lilian di muka pintu kelihatan seperti singa betina. Bila-bila sahaja Lilian akan melenting dan memarahi Cinta.
“Reth? Apa semua ni?” soal Lilian dengan dada yang berombak. Dia bercekak pinggang. Matanya tepat memanah ke arah Cinta. “hei perempuan sial! Berani kau peluk dan cium laki aku?”
Terketar-ketar bibir Cinta. Dia tidak sengaja. Sumpah, dia tidak sengaja. Dia terlalu gembira sehingga tidak menyedari yang di hadapannya tadi adalah Reth bukan papanya. “ma.. maaf, auntie. Ci.. Cinta tak sengaja..”
“Tak sengaja?” Lilian menghampiri Cinta. Bahu Cinta ditolaknya kasar, “tak sengaja kau cakap? Dasar perempuan tak tahu malu! Mak dengan anak sama saja.” Kepala Cinta ditunjal-tunjalnya tanpa perasaan. Cinta hanya diam tanpa melawan. “ma.. maaf!”
“Sudahlah Lilian, dia tak sengaja.” Bela Reth. Sepantas kilat Lilian memutar kepalanya beralih kepada Reth. “Reth! Sejak bila kau pandai nak bela si budak sial ni? Oh, dapat peluk, cium je kau mula lembut hati? Kau tak ingat ke apa mak budak ni buat pada kita? Pada Morgana, your mother?” berang Lilian.
Reth menggeleng, “aku tak pernah lupa, Lilian. Sudahlah! Aku benci dengar suara kau memekik-mekik dalam rumah ni. Sakit telinga aku!” Reth memandang Cinta, “pergi masuk bilik kau sekarang, sebelum aku seret kau!” Cinta menurut. Terkocoh-kocoh dia meninggalkan bilik bacaan.
Dari luar dia dapat mendengar suara Lilian yang sedang memarahi Reth. Reth pula hanya bersuara bila perlu. “Ahh, semua ini salah aku!” Cinta mengutuk dirinya sendiri.
“Kau cakap dengan siapa, Cinta? Apa yang kecoh-kecoh kat atas tu?” tiba-tiba Sophie menepuk bahunya. Cinta menggeleng laju, “tak tahu, tak tahu. Saya tak tahu apa-apa.” Cinta terus melulu masuk ke dalam biliknya. Selagi namanya tidak di panggil, dia tidak akan keluar dari bilik.

KAC 1

PRANG!!
Terangkat bahunya kerana terkejut. Perlahan-lahan dia mengusap dadanya. Dia bangkit dari sofa berangkai tiga yang menjadi alas punggungnya sebentar tadi. Dengan langkah yang laju dia menapak ke dapur. “Hoi! Apa tu?” soalnya apabila tiba di muka pintu dapur.
“Ni haa mummy, dia pecahkan pinggan.” Adu Sophie pada mummynya, Lilian.
Cinta menggeleng. Bukan dia yang pecahkan pinggan itu. Tahu-tahu sahaja Sophie sudah melambakkan kesalahan padanya. Dia baru sahaja masuk setelah selesai menjemur kain di luar rumah. “Tak, auntie. Cinta tak buat. Cinta baru masuk dari jemur kain tadi.” Cinta membela diri.
“Oh, dah buat salah tak nak mengaku ya?” Sophie mula mengapi-apikan mummynya. Dia berjalan lenggang-lengguk menghampiri Lilian. “Mummy, Sophie nampak sendiri dia pecahkan pinggan tu. Di sengaja pecahkan pinggan sebab dia marah pada Sophie, mummy.”
“Apa kau buat kat dia?”
“Sophie tak buat apa-apa pun, Sophie cuma minta tolong dia buatkan air milo untuk Sophie saja. Tak nak buat, tak apalah tapi dia nak marah-marah pula, mummy.”
“Betul macam tu, Cinta?” soal Lilian pada Cinta. Cinta menggeleng. Terketar-ketar bibirnya kerana ketakutan.
“Eee.. gelilah dengar cinta.. cinta.. kau ingat kau siapa? Mummy! Kenapa panggil dia cinta?” Hetty yang baru menapak ke dapur panas telinga mendengar mummy dan adiknya memanggil Cinta dengan nama yang sangat dibencinya itu. Kerana agama Cintalah, cinta hatinya pergi meninggalkannya. Dia cukup benci pada agama Islam.
“Dah itu nama yang Kaith bagi kat dia. Tu kan nama dia, kau nak aku panggil dia apa?” mencerlang matanya memandang Hetty. Anaknya itu, ada-ada sahaja.
“Panggil Sara ke. Nama dia kan Cinta Kaisara.” Hetty mencebik bibir. Dia geli dengan semua yang berkaitan dengan Cinta. Sangat geli!
“Sara? Nama betina tu? Lagi menyampah aku nak menyebut. Mak dengan anak sama je! Hei, Cinta! Kau dengar sini baik-baik. Mama kau tu pembawa sial! Dia kahwin dengan papa kau je, nenek kau mati. Kau tahu sebab apa? Sebab, nenek kau tak bagi papa kau tukar agama, tapi sebabkan Sara yang tak reti malu tu, papa kau sanggup tinggalkan keluarga, tinggalkan agama. Sanggup bunuh mak sendiri!
Sekarang, kau pula disuruhnya kami jaga. Kalau ikutkan hati aku, aku campak saja kau kat mana-mana. Reth yang baik sangat nak bela kau! Aku pun tak faham kenapa Reth kutip kau. Katanya amanah tapi dia tak pernah pun layan kau dengan baik. Mungkin sebab kau ni anak kepada abang kesayangan dia.. kau tahu tak aku ben..”
Belum sempat Lilian menghabis kata-katanya, Cinta sudah melekapkan tapak tangannya ke telinga sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, “jangan hina papa dan mama!!”
“Eh, eh budak ni.. dah gila agaknya.” Hetty memandang Lilian, “dah gila agaknya budak ni, mummy. Biarkan saja dia macam tak betul kat dapur ni, jom kita keluar mummy. Hetty nak shoppinglah. Dah lama tak shopping dengan mummy.”
“Kau memang! Menghabiskan duit aku saja kerja kau ni, Hetty. Hah, kau Sophie.. nak duduk kat dapur ni lagi? Nak teman Cinta?” Sophie mencebik, “tak kuasa!” Mereka keluar dari dapur dan meninggalkan Cinta seorang diri di dapur. Cinta mengutip serpihan kaca dengan linangan air mata. Dia sedih. Mengapa dunia begitu kejam padanya?

CINTA menatang dulang berisi dua gelas air oren. Reth membawa pulang kawan pejabatnya. Cinta takut pada kawan Reth yang seorang itu. Pernah sekali, Jacob datang seorang ke rumah mencari Reth. Ketika itu, Reth sedang tidur di tingkat atas dan Lilian serta anak-anaknya keluar entah ke mana. Jacob cuba meraba Cinta tetapi di halang oleh Reth yang ketika itu sudah bangun dari tidur.
Cinta berjalan perlahan-lahan tanpa memandang wajah Jacob. Dia tahu Jacob sedang meneliti setiap inci tubuhnya. “Jemput minum, uncle..” pelawa Cinta dengan sopan. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia menyimbah air oren itu ke wajah Jacob. Dia tidak suka Jacob memandangnya begitu.
“Hah, kau duduk saja dalam bilik. Jangan keluar! Si Jacob ni bukan boleh nampak kau.” arah Reth. Jacob hanya tersengih-sengih. “nanti kalau aku nak apa-apa, aku ambil sendiri. Jangan keluar selagi aku tak suruh.” Arah Reth lagi. Cinta mengangguk sahaja.
Dalam perjalanannya menuju ke bilik, Cinta dapat mendengar perbualan Jacob dan Reth di ruang tamu. “Kenapa kau simpan dia, Reth? Bukankah kau benci budak tu?”
“Kaith abang aku, Jacob. Aku sayang abang aku walau apa pun yang dia dah buat kat keluarga aku. Memang aku benci budak tu tapi dalam badan dia mengalir darah Kaith.”
“Okey, tapi kenapa kau tak bagi aku.. err.. budak tu lawa, Reth!”
“Kau sentuh dia, aku bunuh kau!”
Jacob ketawa kuat, bergegar seisi rumah dek suara ketawa Jacob, “aku tahu kau sayang budak tu, kau tak benci dia. Kau cuma tak nak mengaku saja.”
Shut up, Jacob. Kita ada banyak kerja yang kena buat. Aku tak nak kita tangguhkan lagi projek Taman Desaru ni.”
“Reth, aku nak tanya kau.. selama budak tu duduk rumah kau ni, dia ada sembahyang?”
“Sembahyang? Entah. Tapi, dulu Lilian marah-marah sebab dia sembahyang. Lilian mahu bunuh dia kalau dapat tahu dia sembahyang dalam rumah aku ni lagi.”
“Tapi, Reth. Dia kan Islam. Dia kena sembahyang.” Reth menjungkit bahu. “aku tak melarang dan aku tak menggalakkan. Dia nak sembahyang atau tak, itu bukan masalah aku.”
“Hei, sudahlah Jacob. Aku malas layan kau berborak. Kerja tak jalan pun. Cepatlah!” marah Reth.
Lilian berbangsa Cina berkahwin dengan Reth yang beragama Kristian. Lilian adalah bekas kekasih Kaith. Kaith meninggalkan Lilian dan memeluk agama Islam, kemudian berkahwin dengan Maisarah.
Kaith dan Maisarah sudah lama bercinta, sejak di zaman sekolah lagi. Tetapi kerana agama, hubungan cinta mereka terputus. Morgana, mama kepada Kaith dan Reth amat menentang agama Islam. Baginya, Islam ialah agama yang sesat. Agama Kristian adalah benar.
Kaith dan Maisarah berkahwin tanpa restu dari keluarga Kaith. Morgana meninggal dunia setelah mendapat tahu anak yang dibangga-banggakannya sudah menukar agama. Agama yang paling dibencinya. Seluruh keluarga menyalahkan Kaith atas kematian Morgana. Kaith membawa diri ke Johor Bharu dan memulakan hidup yang baru di sana bersama Maisarah. 

Nov 22, 2011

KAC prolog

CUACA yang panas membahang lansung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjalan. Entah mengapa hari ini apa yang dilakukannya semua serba-serbi tidak kena. Hatinya pun berasa tidak senang sejak awal pagi dia memijak lantai sekolah. Lambaian Papanya tadi bagaikan menghantar mesej yang dia sendiri tidak tahu apa ertinya.
“Kenapa papa pelik ya hari ini? Selalunya tak macam ini pun,” Cinta bercakap seorang diri sambil kakinya terus berjalan memijak jalan tar yang berwarna hitam itu.
“Hoi, Cin!!” Cinta menoleh. Hafizi, Pelajar tingkatan 6 atas, sedang melambai-lambai tangan sambil memekik-mekik memanggil namanya. Cinta memandang hadapan semula dan meneruskan perjalanannya. “ee.. apalah masalah mamat ni? Sudahlah tengah panas ni. Sengajalah tu nak kasi aku tangan-tangankan dia tengah-tengah panas ni.” ngomel Cinta seorang diri.
“Hoi Cin, berhentilah! Aku ada benda nak cakap dengan kau ni.” pekik Hafizi lagi.
Cinta tidak menghiraukan Hafizi. Dia terus berjalan. “Cin!!” tangannya disambar dari belakang. Cinta merengus geram, “nak apa ni, Fizi? Cin nak baliklah!”
Hafizi terbongkok-bongkok menahan lelah. Penat sungguh dia mengejar Cinta. Cinta, memang begitulah perangainya, tidak pernah menghiraukan mana-mana lelaki yang mahu mendekatinya. Nasiblah Hafizi, abang kepada teman karibnya, Halini.
“Menonong.. je kau jalan, aku.. aku panggil kau tadi.. tak dengar ke? Nak terkeluar anak tekak aku jerit nama kau!” tercungap-cungap Hafizi di hadapan Cinta. Cinta, seperti biasa, menayang muka tidak berperasaannya.
“Siapa suruh jerit?” selamba Cinta membalas.
“Dah kau pekak sangat. Kau sengaja je kan buat-buat tak dengar?”
Cinta menjeling, “nak apa ni? Cin nak baliklah!”
“Papa kau tak jemput kau ya?” Cinta menggeleng, “entah. Dah lebih sejam Cin tunggu tapi papa tak sampai-sampai. Papa ada meeting mengejut kut. Alah, rumah dekat je, Cin boleh balik jalan kaki.” 
Hafizi mengangguk-angguk kepala. “mana Lini? Dia dah balik ya?” tanya Cinta pada Hafizi. Hafizi mengangguk, “aku ada kelas, dia balik dulu. Err.. Cin, aku nak cakap…” cepat-cepat Cinta memotong. Dia tahu apa yang mahu lelaki di hadapannya itu katakan, “Cin hauslah! Cin pergi gerai tu kejap ya.” Cinta terus membuka langkah menuju ke arah gerai yang menjual air tebu di seberang jalan.
“Cin! dengar dulu apa yang aku nak cakap ni.” Hafizi menarik tangan Cinta. Dengan pantas Cinta melepaskan tangannya dari terus dipegang oleh Hafizi, “tak payah pegang-peganglah! Nak cakap apa? Cin dengarlah ni!”
Hafizi akur. Dia menarik sedikit baju kurung putih yang dipakai Cinta. Bukan bertujuan buruk, dia mahu Cinta dekat sedikit padanya. Apa yang ingin dikatakan nanti mungkin akan membuat Cinta menjadi hilang kawalan dan dia bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku nanti. “kenapa ni? Cakap jelah!”
“Sebelum tu, Cin sabar ya? Err.. tadi Cikgu Rohaiya cari Cin tapi Cin dah balik..”
“Kenapa Cikgu cari Cin?” soal Cinta ketika Hafizi masih merangka ayat. “err.. papa dan mama Cin accident.. meninggal di tempat kejadian.”
“Apa??”

SEMUA mata memandang Cinta. Semua tetamu yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir buat arwah Kaith dan Maisarah, berasa simpati pada nasib anak yang baru kehilangan orang tua itu. Cinta masih muda dan masih bersekolah. Tahun ini dia akan menduduki SPM. Semoga Cinta dapat menempuh dugaan hidup ini dengan tabah.
“Urusan semua dah selesai. Lepas zuhur nanti, jenazah boleh dikebumikan.” Kata Pak Iman Nordin. Cinta dengar itu tapi dia hanya diam sahaja. Air mata sudah kering. Dia sudah tidak larat lagi mahu menangis. Orang ramai yang datang menziarah langsung tidak ditegurnya. Dia hanya duduk di sebelah jenazah papanya sambil bersandar di dinding.
“Cinta.. Cinta cium papa dan mama, nak.” Arah Hajjah Norsiah. Cinta diam. Hajjah Norsiah perpandangan dengan tetamu wanita yang lain. Dia bagai meminta yang lain membantunya memujuk anak yang sedang bersedih di hadapannya itu.
Hajjah Mariam menggeleng. Dia bangkit menghampiri Cinta, bahu Cinta diusap-usapnya perlahan, “Cinta.. cium papa dan mama, nak..” sekali lagi dia di suruh mencium papa dan mamanya. Cinta menggeleng.
“Macam mana ni, Kak Yah?” Hajjah Mariam memandang Hajjah Norsiah.
“Lini boleh pujuk dia agaknya. Lini.. pujuklah Cin tu.” Puan Hanum, ibu kepada Halini meminta anaknya memujuk Cinta. Halini akur. Dia menghampiri Cinta. Belakang badan temannya itu diusap lembut, “Cin.. ciumlah papa dan mama kau..” lembut sahaja Halini berkata.
“Kalau aku cium, papa dan mama aku bukan boleh hidup balik, Lini..” semua tetamu yang hadir tercengang mendengar kata-kata Cinta. Halini mencapai tangan Cinta dan diusapnya, memberi kekuatan dan semangat pada Cinta.
“Tak baik kau cakap macam tu, Cin. ALLAH sayangkan papa dan mama kau.”
“Habis aku? ALLAH tak sayang aku ke Lini? Kenapa ALLAH tak ambil aku sekali? Aku dah tak ada siapa, Lini..” setitis air mata gugur di pipi Cinta.
“Cin.. kau ada aku. Aku sentiasa ada untuk kau. Janganlah macam ni..” pujuk Halini. Dia mahu menangis tetapi dia harus kuat. Jika dia lemah bagaimana pula Cinta?
“Cin.. cium papa dan mama kau. Lepas zuhur dia orang nak kebumikan papa dan mama kau dah. Takkan kau tak nak cium papa dan mama kau buat kali terakhir?” pujuk Halini lagi. Lembut sahaja suaranya memujuk Cinta.
Cinta mengangguk lemah. Dia bergerak sedikit menghampiri jenazah mamanya, “Lap air mata tu dulu, nak..” pesan Hajjah Norsiah.
Cinta akur. Dia mengesat air matanya dengan belakang tapak tangannya. Perlahan-lahan dia membongkokkan kepala. Dahi dan pipi mamanya di cium lama, “Ita sayang mama..”
“Papa kau pula, Cin..” Halini menarik kain yang menutupi wajah Encik Kaith. Cinta memandang lama wajah pucat lesi papanya, “Ita pun sayang papa. Sayang sangat-sangat.” Dahi dan pipi papanya dicium lama.
Antara papa dan mama, Cinta lebih rapat dengan papanya. Encik Kaith senang memanjai Cinta sementalah, Cinta Kaisara itu seorang sahaja permata hatinya. Dia tiada anak lain. Cinta satu-satunya zuriat penyambung keturunannya, tanda cinta dia dengan isterinya. Kerana itu jugalah nama Cinta agak unik berbanding teman-temannya di sekolah.
Cinta Kaisara binti Kaith Abdullah. Kaisara adalah gabungan nama Kaith dan Maisarah. Manakala Cinta, adalah sebagai tanda cinta mereka berdua setelah sembilan tahun mendirikan rumah tangga dan baru dikurniakan cahaya mata.

SUDAH lebih lima jam, jenazah selamat dikebumikan. Tetamu yang hadir sudah ramai yang pulang. Cinta masih berteleku di atas tanah berhadapan dengan kubur papanya. Papa dan mamanya di tanam bersebelahan. Cinta amat berharap, jika dia sudah tiada nanti, dia ditanam bersebelahan dengan kubur papa dan mamanya.
“Cin.. mari balik. Dah nak gelap ni.” ajak Puan Hanum. Cinta mendongak memandang ibu Halini yang sudah berdiri. “Cin nak balik ke mana, makcik? Cin dah tak ada siapa. Boleh tak Cin duduk di sini? Cin nak teman papa. Nanti malam-malam, siapa nak tidur sebelah papa? Nanti papa tak boleh tidur.” Kata Cinta tanpa perasaan. Wajahnya tetap pada Puan Hanum.
Puan Hanum memaling wajah. Dia tidak sampai hati melihat Cinta berkata begitu. Kasihan sungguh Cinta.. “Cin, kita balik ya?” ajak Encik Shaari, ayah Halini.
Cinta menggeleng, “Cin nak balik ke mana, pakcik? Siapa nak jaga Cin? Cin tak nak duduk rumah tu seorang diri. Lini.. Lini.. kau duduk dengan aku ya?”
Halini memandang kedua ibu bapanya. Encik Shaari tersenyum, “Lini boleh tidur sekali-sekala kat rumah Cin, kalau Cin nak. Bila-bila pun Cin boleh tidur rumah pakcik.”
“Tapi..”
“Cinta, jom balik!” terdengar suara seseorang memekik memanggil Cinta. Cinta menggeleng berkali-kali. “Cin tak nak pergi mana-mana. Cin nak papa!!”
“Hei, kau jangan nak mengada-ngada kat sini. Jom balik!” Reth menarik tangan Cinta mengikutnya ke kereta. “Lini! Tolong aku Lini.” Rayu Cinta sambil berusaha melepaskan tangannya dari cengkaman Reth, adik kepada papanya.
“Siapa tu, ayah? Kenapa dia buat macam tu kat Cin?” Hafizi mahu mengejar Cinta tetapi di tahan oleh ayahnya. “Tu adik arwah pakcik Kaith. Janganlah campur hal keluarga mereka.” Pesan Encik Shaari.
“Tapi bang.. Cin tu..” Puan Hanum pula ingin mendapatkan Cinta tetapi Encik Shaari sekali lagi menghalang, “Abang kata jangan campur, jangan campurlah! Mereka tu tak serupa manusia!”
“Habis tu? Takkan nak biarkan saja dia orang buat macam tu kat Cin, ayah?” Halini yang dari tadi diam, bersuara. Encik Shaari menggeleng, “Kita bukan siapa-siapa Cin. Arwah sendiri dah amanahkan Cin pada mereka.”
“Dia orang jaga Cin? Tapi..”
“Sudahlah, jom balik.”