Feb 16, 2012

DBAK 1

RUANG TAMU rumah banglo tiga tingkat itu bising dengan suara Dato’ Shariff yang memanggil anaknya, Batrisya Iman yang sedang tidur di dalam bilik tidurnya. Matahari sudah melabuhkan tirai tetapi anak gadisnya yang seorang itu masih lagi terbongkang di atas katil menikmati lena.
“Risya!!” panggilnya lagi.
Dato’ Shariff tidak senang duduk dibuatnya. Mahu mengejutkan anaknya di bilik tetapi dia pula sudah lambat untuk ke pejabat. Kebetulan, Santi pembantu rumahnya melewati ruang tamu itu. Segera Dato’ Shariff memanggil wanita warga Indonesia yang sudah lebih empat tahun berkerja dengannya itu, “Santi! Awak pergi naik atas kejutkan si Risya dalam bilik dia tu. Dah pukul berapa ni tak bangun-bangun lagi!”
“Tapi tuan Shariff, nanti saya di marahin sama non, gimana?”
Dato’ Shariff menggeleng kepala, “hish, apa nak jadilah dengan Risya ni. Mah! Mah!”  Dato Shariff menjerit memanggil nama isterinya, Datin Maheran.
Datin Maheran yang sedang membancuh air milo di dapur segera menyahut, “apa lagi abangnya? Saya di dapur ni tengah buat air. Sekejap.”
Datin Maheran memandang pembantu rumahnya yang seorang lagi, Bik Ani.  Bik Ani ketika itu sedang menyusun cawan dan diletakkannya di dalam dulang, “Ani, tolong bancuhkan air ni, saya nak pergi tengok apa yang tuan tu nak pagi-pagi ni.”
Dengan pantas Datin Maheran meninggalkan dapur dan mendapatkan suaminya di ruang tamu, “Kenapa, bang? Pagi-pagi lagi dah jerit-jerit ni.” penuh sopan santun dia mengusap bahu suaminya agar suaminya itu sedikit tenang.
“Awak tengoklah anak gadis awak, dah pukul berapa ni tak bangun tidur lagi. Saya dah lambat nak ke pejabat ni.” Dato’ Shariff mengeluh kemudian menyambung semula katanya, “itu entah dah bangun ke tidak tu, nanti dia nak mandi, bersiap  lagi dah satu hal pulak saya kena tunggu.”
“Alah, abang pergilah dulu kalau dah lambat sangat nak ke pejabat. Risya tu kan memang liat nak bangun pagi.” Pujuk Datin Maheran tetapi dibalas dengan renungan tajam oleh Dato’ Shariff, “kalau saya pergi dulu ke pejabat, entah sampai bila pulak budak Risya tu nak bangun. Saya tak nak dia lambat sampai ke pejabat, nanti apa pulak kata pekerja-pekerja saya. Sekarang, awak pergi kejutkan anak bertuah awak tu. Saya malas nak naik atas.” Arah Dato’ Shariff.
“Baiklah. Abang pergilah sarapan dulu. Sarapan dah terhidang pun atas meja tu.” Kata Datin Maheran dan segera memanjat tangga untuk ke tingkat atas.
Pintu bilik diketuk, “Risya.. bangun, nak. Papa dah bising kat bawah tu. Bangunlah!” Diam. Tiada sahutan dari dalam bilik. Kali ini Datin Maheran mengetuk pintu kayu itu dengan lebih kuat lagi, “Risya.. bangunlah!”
“Iya.. iya.. Risya dah bangun ni. Risya nak mandi.” Sayup-sayup suara dari dalam kedengaran.
Datin Maheran tersenyum senang. Berjaya juga dia mengejutkan anak gadisnya yang liat bangun pagi itu, “bangun ya nak, jangan tidur balik!” pesannya.
“Iya ma!” balas Risya.
Datin Maheran menuruni tangga dan kembali ke dapur. Suaminya sedang membaca surat khabar ketika itu. “Hah! Dah bangun anak kesayangan awak tu, Mah?” tanya Dato’ Shariff.
Datin Maheran mengangguk, “abang pun, kalau menjerit saja macam tadi manalah budak tu nak bangun.”
“Haa.. iyalah.. saya dah kejutkan dia awal subuh lagi, dia yang liat sangat nak bangun. Anak awak lah! Awak manjakan sangat budak tu.” Bebel Dato’ Shariff.
“Alah, abang pun manjakan juga si Risya tu kalau tak, tak adanya dia macam tu.” Datin Maheran juga menyalahkan suaminya.
“Iyalah awak tu, apa saya cakap ada saja yang nak dibantahnya.” BALAS Dato’ Shariff.

BATRISYA sedang menyikat rambutnya yang panjang ketika telefon bimbitnya berbunyi. Dia mendengus marah. Masa inilah dia nak berbunyi, aku dah lambat ni! bebelnya sendirian. Namun Batrisya hanya membiarkan telefon bimbitnya menjerit tanpa di angkat. Dia terus-terusan membelai rambutnya.
Pagi itu, Batrisya mengenakan baju blause berompol di leher berwarna merah jambu yang berlengan panjang. Kemudian, dikenakan pula dengan skirt pendek berwarna hitam. Rambutnya dibiarkan lepas tanpa diikat atau disanggul. Tubuhnya yang tinggi membuatkan skirt yang dipakainya tampak sedikit pendek tetapi itu langsung tidak menjadi masalah baginya.  Dia sudah terbiasa berpakaian sebegitu. Papa dan mamanya pula tidak pernah kisah akan cara pemakaiannya.
Setelah selesai menyembur minyak wangi ke tubuhnya dan sudah berpuas hati dengan penampilannya pada pagi itu, Batrisya mencapai beg tangan jenama Gucci yang dibelinya ketika mereka sekeluarga bercuti di London beberapa minggu yang lalu kemudian dengan pantas menuruni tangga untuk ke tingkat bawah.
Di dapur, dia menyapa papa dan mamanya dengan manja, “good morning pa, good morning ma.. sorry I’m late. Risya overnight semalam. Sorry okey?”
Dato’ Shariff mengeluh perlahan, “Risya ke mana semalam? Papa tak suka Risya overnight sampai lambat bangun pagi macam hari ni. Risya tahu kan kerja Risya berlambak yang belum settle kat pejabat tu?”
Batrisya melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan kerusi yang diduduki oleh papanya, “pa, semalam Fatty buat birthday party dialah. Tak syoklah kalau tak overnight, dia best friends Risya kan.”
Dato’ Shariff mengangguk-anggukkan kepalanya, “okeylah kalau macam tu tapi Risya still kena denda. Papa nak Risya settlekan projek baru company kita. Sekarang projek tu Nizham tengah handle tapi lepas ni papa nak Risya yang take over projek tu okey?”
Batrisya baru sahaja hendak membuka mulut tetapi sudah di halang oleh papanya, “No excuses sweetheart! Papa dah inform Nizham pun so good luck my dear.” Dato’ Shariff mengusap lembut kepala Batrisya dan terus berlalu pergi.
Batrisya meminta simpati dari Datin Maheran pula, “ma.. tak acilah papa buat Risya macam ni. Projek yang lama pun belum settle lagi, ini dah tambah yang baru pulak. Matilah Risya macam ni, ma.” Adunya. Datin Maheran sekadar menggeleng kepala. Apa boleh dia lakukan? Keputusan semua di tangan suaminya, Dato’ Shariff.
“Ma, ma tolonglah pujuk papa tu. Apa guna Risya jadi anak boss kalau semua kerja Risya yang kena handle? Tak naklah mama, Risya tak boleh enjoylah nanti.” Batrisya memeluk lengan Datin Maheran.
Datin Maheran mengusap pipi Batrisya. Anak satu-satunya itu memang begitulah sikapnya, asyik fikirkan hal dunia sahaja. Enjoy.. enjoy sahajalah. “Risya, mama boleh buat apa sayang? Kalau itulah kata papa, mana boleh mama bantah. Risya ikut sajalah. Mama tahu papa takkan menyusahkan anaknya. Adalah tu yang papa Risya nak, ikut sajalah.” Pujuk Datin Maheran.
Batrisya mencebik bibir tanda protes, dia berjalan sambil menghentakkan kakinya ke lantai, “papa selalu macam ni tau!” bebelnya, sebal.

Feb 15, 2012

KAC 8

Di Stesen Bas..

AZMAN membantu Cinta dengan menjinjing beg baju milik Cinta. Cinta berjalan di belakang Azman. Dia takut. Entah bagaimanalah nasibnya selepas ini jika Azman tiada untuk membantu. Meliar mata Azman mencari bas untuk ke Johor. “Hah tu pun!” seru Azman sebaik melihat bas yang bernombor enam puluh tujuh yang tertampal di hadapan cermin bas.
Azman menoleh mencari Cinta, “Cinta, itu basnya untuk ke Johor. Ini beg Cinta.” Beg yang sederhana besar itu sudah bertukar tangan. Beg itu tidaklah begitu berat tetapi entah mengapa Azman begitu mulia hati ingin membantu Cinta membawakan begnya.
“Terima kasih, awak.” Ucap Cinta.
“Sama-sama. Cinta hati-hati ya. Oh ya, Cinta ada handphone? Kalau tak keberatan, saya nak minta nombor telefon Cinta.”
Cinta menggeleng kepala.
Azman mengeluh, “tak apalah kalau tak nak bagi.” Sayu sahaja nada suaranya.
Cinta tersenyum kecil, “macam mana nak bagi kalau telefonnya pun tak ada?”
Azman tersengih-sengih. Cinta menggeleng kepala sahaja. Dia tahu Azman seorang yang baik. Azman bukan jenis lelaki yang hidung belang atau buaya darat. Azman mempunyai hati yang sangat baik. Susah hendak jumpa lelaki sebaik Azman pada zaman kini. Mungkin satu dalam sepuluh atau sepuluh dalam sejuta.
Azman mencapai tangan Cinta. Cinta terkejut tetapi dia membiarkan sahaja. Cinta dapat rasa ada sesuatu di dalam tangannya. “Eh apa ni, awak?”
Azman menghadiahkan senyuman pada Cinta, “ini ada duit sikit untuk Cinta. Oh ya, lagi satu. Ini kad saya, kalau ada apa-apa jangan segan call ya? Saya akan tolong selagi termampu.” Azman menghulurkan sekeping kertas berwarna putih pada Cinta.
“Eh awak! Banyak sangat ni. awak ambillah balik. Tak apa, saya okey.” Cinta cuba untuk mengembalikan semula duit yang diberi oleh Azman. Tetapi Azman menolak, “ambil sajalah atau Cinta tak sudi terima pemberian dari saya?”
“Bukan macam tu, tapi banyak sangat ni. Saya nak buat apa sampai lima ratus ringgit ni?”
“Tak apa, ambil. Kalau lebih boleh simpan. Cinta boleh guna kalau Cinta nak sewa rumah ke. Tapi janganlah sewa rumah yang mahal-mahal, tak cukup nanti.”
Cinta tersenyum. Dia terharu dengan kebaikan Azman padanya, “terima kasih, awak. Saya harap kita dapat jumpa lagi. Bolehlah saya bayar balik duit awak.”
Azman ketawa kecil, “kalau awak dah terkenal ke kan suatu hari nanti. Tak adalah, manalah tahu kan takdir awak jadi artis macam Lisa Surihani ke, awak jangan lupa kat saya pulak ya? Paling-paling pun awak panggillah saya jadi extra dalam filem awak.” Azman berseloroh.
Cinta ketawa, “ada-ada sajalah awak ni. Insya-ALLAH saya takkan lupa pada awak. Masakan saya lupa pada orang yang sudah membantu saya. Sekali lagi, terima kasih sebab dah tolong saya. Terima kasih banyak-banyak. Saya tak tahu macam mana nak balas jasa awak, Azman.”
“Eh, sudahlah. Jangan nak berdrama sangat kat sini. Nanti saya yang menangis pulak. Awak masuklah dalam bas cepat, nanti tertinggal bas saya tak boleh nak tumpangkan awak dalam rumah saya lagi.”
Cinta tersenyum. Dia langsung tidak terasa hati dengan kata-kata Azman. Dia sudah menganggap Azman seperti abangnya sendiri walhal baru kenal tidak sampai dua hari. “Terima kasih sekali lagi ya awak. Saya takkan lupa pada awak. Saya pergi dulu. Kirimkam salam saya pada Kak Suraya ya. Assalamualaikum.”
Cinta masuk ke dalam perut bas. Dia mengambil tempat yang berdekatan dengan tingkap supaya dia dapat melihat Azman. Dia amat berharap suatu hari nanti dia akan bertemu lagi dengan Azman.
Bas sudah pun bergerak. Melalui tingkap bas, Cinta melambai tangan pada Azman. Azman juga turut membalas lambaian tangan dari Cinta. Semoga ALLAH memberkati hidup Azman dan Kak Suraya. Doa Cinta.

SETELAH berjam-jam di dalam perut bas, punggungnya pun sudah kebas akibat duduk lama, akhirnya sampai juga Cinta ke destinasinya. Sebelum melangkah menuruni tangga bas, Cinta berdoa semoga ALLAH permudahkan segala urusannya di sini. Semoga ada insane semulia Azman membantunya sekiranya dia di timpa masalah lagi. Amin.
Cinta melilau mencari teksi untuk menghantarnya ke kampung halamannya yang sudah lama tidak di jejakinya. Nasiblah sewaktu masih bersekolah dahulu, Cinta sering keluar bersama rakan-rakan ketika cuti sekolah. Jadi, tidaklah terlalu kekok seperti di Melaka untuknya mencari jalan ke rumah lamanya yang mungkin ada atau sudah dirobohkan. ‘Ya ALLAH! Engkau bantulah aku. Engkau permudahkanlah segala urusanku Ya ALLAH!’ doanya memohon pertolongan dan perlindungan dari Yang Maha Esa.
Cinta tidak perasan akan seseorang di hadapannya. Dia yang sedang khusyuk membaca di papan kenyataan telah terlanggar dengan seorang lelaki. “Hoi!! Buta ke?!” tempik lelaki itu.
Cinta menggeletar ketakutan. Beg sandang milik lelaki itu sudah mencium lantai. Habis semua khazanah di dalam beg itu terhambur keluar dari beg. Makin membuat Cinta ketakutan apabila di lihatnya sebuah telefon bimbit sudah berkecai di atas lantai itu.
“Ya ALLAH! Maaf.. maaf encik, saya tak sengaja. Saya tak sengaja.” Cinta ingin membantu lelaki itu mengutip segala barangannya yang sudah bertaburan di atas lantai tetapi tangan Cinta di rentap kasar oleh lelaki itu.
“Hei! Kau ingat dengan kata maaf kau tu boleh ganti android aku yang dah berkecai ni? Kau buta ke? Mata kau letak kat mana?” marah lelaki itu.
Cinta terdiam. Dia langsung tidak memandang wajah lelaki di hadapannya itu. Matanya hanya memandang sejenis alat komunikasi yang sudah berubah bentuk dari asalnya yang berada di tangan lelaki itu.
“Hoi aku cakap dengan kau ni! Bila kau cakap pandanglah aku!”
Terus Cinta mengangkat wajahnya memandang lelaki itu. Orang yang lalu lalang langsung tidak membantu Cinta. Mereka hanya melihat Cinta yang sedang di maki hamun oleh lelaki yang tidak beradab itu.
“Aku cakap dengan kau! Kau boleh ganti ke android aku ni? Aku tak kira! Kau ada duit ke tak, aku nak kau ganti android aku ni sekarang jugak! Apa nak jadi, jadilah. Aku tak kira!” tempik lelaki itu kuat.
“Err.. err.. saya ada lima ratus. Awak ambillah.” Pantas Cinta menghulur sampul surat uyang diberi Azman padanya tadi. Dengan tidak berfikir panjang Cinta berkata, “kalau tak cukup, encik cakap sajalah. Saya akan buat apa saja.”
“Kau ingat aku beli benda alah ni kat pasar malam?!” jerkah lelaki itu tanpa menghiraukan orang lain.
“Saya tak ada duit, encik. Sumpah, itu saja yang saya ada.”
“Baik, kau tak nak bayar kan? Mari ikut aku ke balai.” Hah? Tercengang Cinta mendengarnya. Balai? Takkan sampai macam itu sekali? Kenapa perlu bawanya ke balai? Masalah ini bukanlah begitu serius sehingga perlu pihak polis masuk campur. Dia bukannya mencuri.
“Tapi saya bukannya…”
“Ah! Aku dakwa kau atas kesalahan kau cuba mencuri barang aku!” pantas lelaki itu menjawab. Terbeliak mata Cinta memandang lelaki itu. Mencuri? Tidak pernah dalam seumur hidupnya dia ingin mencuri, berniat untuk mencuri pun tidak pernah sama sekali.
Tetapi Cinta yang lurus bendul, merayu lelaki itu dan dia berjanji akan membuat apa sahaja asalkan lelaki itu tidak membawanya ke balai polis. “Tolonglah, encik. Saya betul-betul tak ada duit, macam mana saya nak bayar pada encik? Lima ratus itu sajalah yang saya ada, encik. Tolonglah jangan bawa saya ke balai polis, saya merayu.”
“Aku tak peduli. Mari ikut aku!” lelaki itu mengheret Cinta masuk ke dalam kereta Proton Perdana berwarna hitam. Cinta cuba untuk melepaskan diri tetapi pegangan lelaki itu pada pergelangan tangannya amat kuat. Sesekali Cinta mengaduh kesakitan.
Cinta kecewa kerana tiada siapa daripada beratus orang yang berada di situ yang hendak membantunya. Sungguh kejam dunia ini. Sekurang-kurangnya tolonglah panggilkan pengawal keselamatan untuk membantunya. Cinta menangis sendiri.
Tetapi nasi sudah menjadi bubur, Cinta di bawa entah ke mana oleh lelaki itu. Di dalam kereta Cinta tidak henti-henti merayu agar dia tidak dibawa ke balai polis. Dia sanggup buat apa sahaja asalkan lelaki itu tidak membawanya ke balai polis.
“Encik, tolonglah encik. Jangan bawa saya ke balai polis. Saya sanggup buat apa saja, encik cakap saja. Tolonglah, encik!” rayu Cinta.
Cinta menangis teresak-esak dan membuat lelaki itu menjadi jatuh kasihan padanya. Dia memperlahankan keretanya, “baiklah aku tak bawa kau pergi balai polis. Tapi kau kena pilih! Kau nak meringkuk dalam penjara atau kau nak berkerja dengan aku? kau kerja dengan aku sampai cukup duit yang kau hutang dengan aku!”
Tanpa berfikir panjang, Cinta mengangguk laju. dia amat bersyukur lelaki itu tidak membawanya ke balai polis tetapi Cinta gerun bagaimana pula nasibnya selepas ini. Dia pasti lelaki itu tidak akan melepaskannya dengan senang hati. ‘Ya ALLAH! Engkau bantulah aku.’

Feb 14, 2012

KAC 7

“MASUKLAH..” pelawa Azman.
Perlahan-lahan Cinta menanggalkan selipar dikakinya. Di melangkah masuk ke dalam rumah sewa milik lelaki itu. Keadaan rumah itu tampak bersih dan kemas. Ada sebuah televisyen di ruang hadapan rumah teres setingkat itu. Sofa berangkai tiga terletak elok di hadapan meja kecil. Meja kecil itu sarat dengan buku-buku yang Cinta sendiri tidak tahu siapa empunya tuannya.
“Awak duduk dulu ya.” Ujar Azman.
“Awak! Awak cakap kita tak berdua dalam rumah ni?” tanya Cinta inginkan kepastian. Dia tidak mahu terlepas dari mulut harimau tapi masuk ke dalam mulut buaya. Walaupun Azman kelihatan seperti orang baik-baik tetapi perasaan was-was tetap terselit dalam diri Cinta terhadap lelaki yang sudah membantunya itu.
Azman tersenyum, “awak janganlah risau. Sekejap, saya nak panggil kakak saya. Dia dah tidur agaknya.”
“Eh tak apalah, jangan ganggu dia.”
“Mana boleh, Cinta. Habis tu, awak nak tidur dengan saya ke? Dalam rumah ni ada tiga bilik saja. Satu bilik saya, satu lagi bilik kosong tapi saya jadikan stor rumah ni dan satu lagi bilik tetamu. Bilik tetamulah yang kakak saya guna sekarang. Kalau tak kejut dia, nanti lagilah terkejut dia bangun pagi esok tengok ada orang tidur dalam bilik dia.” terang Azman.
Cinta hanya mengangguk. Kalau begitu kata Azman, dia mahu apakan lagi? Sudahlah menumpang, banyak kerenah pula. Lebih baik diam dan menurt sahaja.
“Cinta, ni kakak saya, Kak Suraya.”
Wanita tinggi lampai, berambut panjang dan berkulit putih yang berdiri di sebelah Azman itu tersenyum pada Cinta. Cinta membalas senyuman wanita itu.
“Cinta ya namanya?” soal Suraya ingin beramah mesra.
Cinta mengangguk, “maaf kak, saya menganggu akak tidur.” Suraya menggeleng kepala, “tak menganggu pun. Akak belum tidur lagi, ada kerja sikit nak buat sebelum balik Brunei esok.”
“Cinta duduk dululah ya? Akak nak siapkan bilik, bersepah sikit tadi. Man, pergilah buatkan air. Ada sikit agar-agar coklat petang tadi akak letak dalam peti ais. Potonglah dan hidangkan kat Cinta ni.”
“Eh, tak payahlah kak. Susah-susah saja. Saya datang malam-malam ini pun dah menyusahkan.” Cinta menolak. Dia segan dengan Suraya. Apalah yang ada di benak wanita it agaknya. Janganlah dia menganggap Cinta gadis yang tidak baik.
“Tak apa. Man, pergilah. Cinta duduk dulu ya?” ujar Suraya dan berlalu pergi meninggalkan Cinta seorang diri di ruang tamu rumah. Azman membontoti kakaknya menuju ke dapur.
“Man! Kau kenapa pandai-pandai bawa balik perempuan ke rumah ni? Entah-entah akak di Brunei, dah selori perempuan kau heret ke rumah ni ya?” sembur Suraya. Namun suaranya di perlahankan agar Cinta tidak mendengar perbualan mereka adik-beradik ini.
“Man tolong dia je kak. Eh, mana ada Man bawa perempuan masuk rumah. Ini pun, akak ada sekali kan? Man mana berani bawa perempuan masuk rumah kalau akak tak ada.” Azman membela diri.
“Kenapa kau nak tolong dia? Kau kenal ke dia?”
“Nama dia Cinta. Kan Man dah bagitahu akak tadi.” Azman mengeluarkan loyang berisi agar-agar coklat buatan kakaknya lalu diletakkan di atas meja dapur.
“Habis, sampai bila dia kat sini? Esok akak nak balik Brunei dah, Man. Kau jangan pandai-pandai nak bagi dia duduk sini kalau akak tak ada. Kalau kena tangkap basah, siapa yang nak menjawab?”
Azman memotong agar-agar itu menjadi bentuk empat segi dan disusunnya di dalam pinggan kaca. Air cordial perisa epal dituangnya ke dalam jag air yang sederhana besar. Dia sudah terbiasa membuat kerja-kerja rumah semenjak kakaknya tidak lagi tinggal di Malaysia.
“Iye kak, Man tahu. Dia tumpang hari ni aje, esok Man hantarlah dia kat stesen bas ke teksi ke. Dia nak balik Johor.”
“Kenapa kau kena bawa dia kat sini, Man? Akak tak fahamlah. Bukan ke banyak hotel-hotel kat sekitar sini. Dia tak boleh bermalam kat hotel ke? Ya Allah! Nanti apa pulak kata jiran-jiran kita, Man.”
“Bukan macam tu kak. Memang mula-mula Man ada usulkan dia bermalam di hotel saja tapi dia cakap dia tak ada duit nak bayar sewa bilik untuk satu malam. Itu yang Man bawa dia ke mari.”
“Hah! Baik sangatlah hati kamu tu, Man. Entah siapalah yang kau bawa balik tu. Mana tahu budak tu lari dari rumah ke, dah satu hal pulak kalau polis datang sini.” Bebel Suraya tidak berhenti.
“Sudahlah kak. Esok Man janji, dia tak tidur sini lagi. Malam ni saja. Akak pergilah siap bilik tu cepat, Man dah siap minuman dengan agar-agarnya ni.”
Suraya menggeleng kepala. Dia tidak tahu mahu berkata apa lagi, “suka hati kau lah, Man.” Kata Suraya dan masuk ke dalam bilik.

DI RUANG TAMU, Cinta membantu Azman menuangkan air jus epal ke dalam gelas. Azman ada menolak tadi tetapi Cinta tetap berkeras. Dia benar-benar rasa tidak enak pada Azman dan kakaknya, Suraya.
“Saya ni menyusahkan awak saja.” Cinta mengeluh.
“Eh, tak adalah. Satu hari saja, tak ada yang menyusahkan pun. Oh ya, esok saya hantar awak ke stesen bas, pukul berapa ya?” soal Azman.
Cinta diam. ‘Ah sudah! Apa pulak aku nak jawab ni’, gelabah Cinta dibuatnya, “err.. err.. awak tak payahlah hantar saya ke stesen bas esok. Saya boleh pergi sendiri esok. Terima kasihlah ya.”
“Eh, tak apa ke? Awak cakap, awak tak tahu sangat jalan kat Melaka ni. Lagipun, awak tak ada duit kan?”
“Ada, tapi tak lah banyak. Setakat nak bayar duit tambang teksi atau bas, cukuplah. Terima kasih ya, awak. Awak baik sangat, tak tahu macam mana saya nak balas budi awak ni.”
Azman tersenyum. Manis. “Tak apalah. Eh, jemputlah makan.” Pelawa Azman. Cinta akur. Agar-agar coklat berbentuk empat segi itu di masukkannya ke dalam mulut perlahan-lahan. Sedap. Teringat pula, dia selalu membuatkan agar-agar sebagai pencuci mulut selepas makan malam untuk keluarga Reth. Bagaimanalah kalau mereka sudah pulang nanti? Akan risaukah mereka akan ketiadaannya di rumah?
“Cinta.. bilik dah siap. Akak dah bentangkan toto untuk Cinta tidur nanti. Tak apa ke kalau kita tidur bawah? Katil bersepahlah, Cinta. Akak tak tahu nak letak barang-barang pejabat akak tu kat mana. Esok baru ingat nak berkemas.” Kata Suraya sebaik menyiapkan tempat tidur untuk Cinta.
“Menyusahkan akak saja.” Balas Cinta. Dia menunduk kepala. Malu tidak terkata.
“Tak menyusahkan pun. Cintakan tetamu.” Kata Suraya dan menghadiahkan jelingan tajam pada adiknya, Azman.
Cinta mengekori Suraya masuk ke dalam bilik. Bilik itu tidaklah begitu luas. Hanya menempatkan sebuah katil berkembar di tengah-tengah bilik dan sebuah almari kecil untuk mengisi baju serta sebuah meja sederhana panjang yang penuh dengan buku-buku. Cinta menghampiri meja yang penuh dengan buku-buku itu.
“Cinta nak baca? Bacalah.” Pelawa Suraya.
Cinta menggeleng kepala. Buku novel bertajuk Andai Itu Takdirnya karya Siti Rosmizah di capainya. Buku itu kelihatan agak tebal. Kalau Cinta ingin membacanya, bila pula mahu habis bacaannya? Hendak meminjam dari Suraya? Bila pula masanya untuk Cinta memulangkan kembali buku novel tersebut?
Dari sinopsis yang dibacanya di kulit belakang buku novel tersebut, jalan ceritanya tampak menarik. Pengarang mendapat idea menulis cerita tersebut melalui mimpinya. Benarkah? Cinta sangat teruja pula ingin mengetahui jalan ceritanya yang sebenar.
“Cinta kalau baca buku novel ni kak, mahu berhari-hari barulah habis membacanya. Kalau nak pinjam dekat akak, bila pulaklah Cinta nak pulangkannya. Tak apalah, nanti Cinta cuba cari buku novel ini di mana-mana.” Terang Cinta sambil tersenyum manis pada Suraya.
Suraya membalas senyuman Cinta. Dia menghampiri Cinta dan menarik tangan Cinta untuk duduk di atas katil. Cinta hairan tetapi dia ikutkan sahaja langkah Suraya itu.
“Akak tanya ni, Cinta jangan berkecil hati ya?” kata Suraya.
“Tanya apa kak? Tanya sajalah.” Balas Cinta dan masih lagi tersenyum.
“Cinta dari mana sebenarnya? Cinta lari rumah ya?” serkap jarangnya.
Cinta menunduk. Dia buntu. Perlukah dia menceritakan hal yang sebenar? Khuatir Suraya menganggapnya ingin memperalatkan adiknya, Azman. Tidak. Bukan itu maksudnya. Dia sama sekali tidak ingin memperalatkan Azman. Azman kebetulan membantunya ketika itu. ‘Oh tuhan, janganlah wanita di hadapan ini menyangka buruk terhadapku.’ Doa Cinta di dalam hati.
“Ya, Cinta lari dari rumah. Cinta tak tahu nak ke mana sebenarnya tapi…”
Belum sempat Cinta bercerita, Suraya sudah mencelah, “tapi Azman cakap Cinta hanya menumpang bermalam. Esok Cinta nak ke Johor kan? Kampung Cinta di Johor kan?”
Cinta mengangguk, “ya, Cinta asal dari Johor. Lepas saja arwah papa dan mama Cinta meninggal, Cinta duduk di Melaka dengan keluarga pakcik saudara Cinta.”
“Oh, kalau macam tu, mari akak hantarkan Cinta ke rumah keluarga Cinta.” Usul Suraya.
Cinta menggeleng kepala, “tak nak! Cinta tak nak balik rumah pakcik lagi. Cinta takut. Cinta nak balik Johor tapi Cinta tak tahu rumah Cinta masih ada lagi atau tidak. Sudah lebih tiga tahun Cinta meninggalkan Johor. Cinta tak ada sesiapa lagi.” Cinta menangis teresak-esak. Dia tidak peduli jika Suraya menganggapnya cuba meminta simpati.
“Tak apalah kak, esok Cinta balik jugaklah ke Johor. Mungkin Halini masih tinggal di sana. Halini ada janji dengan Cinta yang dia tak akan tinggalkan Cinta. Maaflah menyusahkan akak dan Azman. Tapi Cinta minta izin dari akak nak bermalam di sini, Cinta tak tahu jalan di Melaka ini.” Sambung Cinta lagi.
Suraya mengangguk. Dia tidaklah kejam untuk menghalau dan membiarkan gadis yang masih muda seperti Cinta berkeliaran di waktu malam. Dia juga mempunyai anak gadis yang sudah meningkat remaja.
 “Baiklah akak izinkan. Esok pagi, akak minta Azman hantarkan Cinta ke stesen bas sebab tengah hari esok akak dah kena balik Brunei. Flight akak pukul empat petang. Bukan akak tak nak tolong Cinta tapi akak risau kalau Cinta tinggal di sini jika akak tiada. Nanti apa kata jiran-jiran. Azman tu bujang.”
“Terima kasih kak.”

DI LUAR BILIK, Azman tidak sengaja mendengar perbualan kakaknya dengan Cinta. Dia menjadi kasihan pada Cinta. Dari awal lagi Azman dapat merasakan sesuatu yang tidak kena pada Cinta. Pada mata Cinta, dia tahu yang Cinta tidak menipu. Air mata Cinta tadi adalah air mata yang asli bukan dibuat-buat.
“Ada lagi rupanya orang yang hidup ala-ala kisah Bawang Putih Bawang Merah pada zaman ni. Haih.. macam-macam.” Kata Azman dan berlalu pergi. Suis lampu ruang tamu di padamkan.
Suraya memerhati wajah Cinta yang sedang lena disebelahnya. Nasib Cinta sama sepertinya dan Azman, tidak beribubapa. Seawal usianya tujuh belas tahun, dia sudah bekerja untuk menyara hidup sejak kematian arwah ibu dah bapanya. Azman adalah amanat dari ibubapanya untuk di jaga.
Sehingga kini, walaupun dia sudah berumah tangga dan menetap di Brunei, Azman masih lagi di bawah kawalannya. Sudah lebih dua puluh tahun dia menjaga Azman, takkanlah begitu mudah dia hendak melepaskan Azman biarpun dia sudah bersuami.
Dahulu, pernah orang-orang kampung memberi usul supaya Azman di hantar ke rumah anak-anak yatim atau di beri sahaja kepada orang lain untuk di jaga tetapi Suraya membantah. Dia bertegang urat dengan orang-orang kampung semata-mata ingin mempertahankan Azman. Sehinggalah dia mengambil keputusan untuk tinggal sendiri di Melaka dan menjaga Azman dengan hasil titik peluhnya sendiri.
Tetapi, nasibnya masih baik tidak seperti Cinta yang tidak mempunyai sesiapa. Ya, menurut Cinta dia mempunyai pakcik saudara tetapi itu tidak sama dengan keluarga sebenar. Pasti Cinta amat terseksa.
“Bersabarlah dik. Mungkin ada tuah untuk kau di hari lain.” Bisik Suraya perlahan.

KAC 6

RETH, Lilian, Hetty dan Sophie sudah berangkat ke Sydney pagi semalam. Cinta keseorangan di  rumah. Pagi itu pula dia tidak berapa sihat. Kepalanya bagai dihurung lalat. Entah kenapa kepalanya terasa pening. Semua yang dilihatnya kelihatan seakan berputar-putar seperti bola. Namun, Cinta gagahkan juga dirinya membuat kerja-kerja rumah yang terbengkalai. Sebenarnya, dengan ketiadaan mereka di rumah ini, dia lebih senang hendak melakukan tugas membersihkan rumah, tidak perlu terkejar sana sini.
TING TONGG!!
Loceng rumah berbunyi. Cinta segera mengintai di balik langsir jernih yang tergantung cantik di tingkap. Kelihatan ada seorang lelaki di luar pagar rumah. Cinta cuba untuk mengenalpasti siapakah gerangan lelaki itu, tetapi gagal. Muka lelaki itu terselindung di sebalik tiang rumah.
Lambat-lambat Cinta membuka pintu. Jacob! mengucap panjang Cinta sebaik melihat lelaki itu sudah berada di hadapannya. Nasiblah mereka di halang oleh grill yang masih belum di buka oleh Cinta.
“Err.. uncle cari siapa?” soal Cinta.
“Aku tertinggal barang hari tu, bagi aku masuk!” Cinta menggeleng, “tak ada orang kat rumah.”
Jacob menepuk grill dengan telapak tangannya, “aku tak tanya ada orang ke tak kat rumah ni, aku kata aku tertinggal barang, aku nak masuk!” marah Jacob.
Cinta tidak tahu mengapa Jacob perlu marah-marah. Tiada siapa di rumah, takkan dia hendak membiarkan lelaki tua tidak sedar diri ini masuk ke dalam rumah?
“Kau pekak ke?! Bagi aku masuk, buka pagar ni!”
“Tapi…” Cinta tergagap-gagap, “saya.. err.. Uncle.. nanti.. err..”
“Kau nak aku lapor pada Reth ya? Kau ingat dia orang semua akan bela kau? Baik kau buka pagar ni cepat sebelum aku hilang sabar!”
Cinta tiada pilihan lain. Cepat-cepat dia mencapai kunci grill dan membukanya. Jacob tersenyum senang sebaik melangkah masuk ke dalam rumah. “okey, sekarang aku nak kau buka baju kau!” arah Jacob.
Bulat mata Cinta memandang Jacob. Gila betul orang tua ni. Tadi bukankah katanya dia tertinggal barang? Dia mahu mengambil barangnya yang tertinggal.
“Barang apa yang tertinggal, Uncle? Ambillah cepat dan tolong pergi dari sini.” Cinta memberanikan diri menghalau lelaki itu walaupun di dalam hati hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa takutnya dia.
Jacob ketawa lepas, “kau ingat aku senang-senang saja nak lepaskan peluang keemasan ni? Dah lama aku tunggu saat ni. Reth tu bodoh! Kalau aku jadi dia, dah lama aku ratah-ratah badan kau yang… emm.. mari sini..” Jacob menarik tangan Cinta. Cinta meronta-ronta ingin melepaskan diri.
“Aku minta baik-baik, kau tak nak kan? Mari, biar aku yang tolong bukakan baju kau. Mari…” Jacob sudah merentap baju t-shirt yang di pakai Cinta. Tangan Cinta mengagau mencari tangan Jacob yang sedang meraba dadanya.
“Lepaslah! Jangan buat saya macam ni. Tolonglah..” Rayu Cinta tetapi langsung tidak di hiraukan oleh Jacob. Jacob semakin ganas. Dia mencium leher Cinta dengan rakus.
Cinta mendapat kekuatan lalu menyepak Jacob sekuat hati dan Jacob tersungkur ke lantai. Cinta terus berlari masuk ke dalam biliknya. Dia mengemas dan mengambil semua barang keperluannya lalu menyumbat kesemuanya ke dalam beg. Dia nekad mahu pergi dari rumah itu. Bukan dia tidak menghargai jasa Reth tetapi dia tidak sanggup sekiranya memandang wajah Jacob di dalam rumah ini lagi. Dia mahu lari jauh dari neraka dunianya ini.
“Hoi, keluarlah! Aku tak buat apa-apa dah.” pujuk Jacob.
Cinta diam. Dia menyorok di belakang almari sambil memeluk beg pakaiannya. Lama dia menunggu, suara Jacob tidak kedengaran lagi. Lalu dengan semangat yang berbaki, dia membuka pintu perlahan-lahan dan terus lari meninggalkan rumah yang selama ini menjadi tempatnya berteduh selama tiga tahun lebih, dia langsung tidak menoleh ke belakang lagi.

CINTA tidak tahu mahu ke mana. Dia tidak biasa jalan di Melaka ini. Jangankan Melaka, jika dia di campak di pekan terdekat dengan rumah Reth pun dia tidak tahu bagaimana mahu mencari jalan pulang. Dunianya selama ini hanya di dalam rumah Reth. Dia tidak pernah melihat dunia luar. Kalau ada pun, hanya di halaman rumah Reth. Sadis sungguh nasibnya.
Walaupun begitu, Cinta tetap meneruskan perjalanannya. Ke mana sahaja arah kakinya melangkah, dia turutkan. Dimana kakinya berhenti melangkah, di situ lah dia berhenti untuk berehat. Serasanya dia sudah lama berjalan tetapi dia masih tidak tahu di mana dia berada kini. Di kiri dan kanannya terdapat kawasan perumahan. Dia bingung!
“Cik, nak ke mana? Boleh saya tumpangkan?” tegur seorang lelaki dari dalam kereta Waja yang berwarna putih.
Cinta menggeleng. Dia mengepit kuat begnya ke dada. Walaupun dia tidak pernah melihat dunia luar, dia tahu masalah jenayah yang sering berlaku di negara ini seperti meragut, merompak, mencabul, membunuh dan merogol. Subhanallah! Minta di jauhkan semua perkara buruk itu darinya.
“Alah, marilah saya tumpangkan. Saya ikhlas ni.” pujuk lelaki itu pula dengan sengihan. Cinta mempercepatkan langkahnya. Dia langsung tidak menoleh pada lelaki itu.
“Cik, dah malam ni! tak takut ke?” lelaki itu terus mengekorinya. Sengaja lelaki itu memperlahankan keretanya. Mengacah-acah Cinta yang di dalam ketakutan itu.
“Tak apa, saya tak takut.” Jawab Cinta berani. Tidak takut? Benarkah? Ah, dia sudah tidak peduli semua itu. Semakin laju langkah di atur tetapi lelaki itu tetap mengejarnya. Cinta mahu lari apabila dia mendengar suara pintu kereta di tutup dari arah belakangnya. Ya ALLAH! Engkau bantulah hamba-Mu ini. Lindungilah aku, ya ALLAH! Doa cinta di dalam hati.
“Cik, mari saya hantarkan. Nak ke mana ni?” lelaki itu menyambar tangan Cinta. Menggigil Cinta ketakutan.
“To.. tolong!” pekik Cinta kuat tetapi segera lelaki itu menutup mulutnya. “Hoi, apa jerit-jerit ni? Mari ikut aku!” lelaki itu menarik Cinta mengikutinya. “Tak nak! Tolong!!! Tolong!!” pekik Cinta sekuat hati. Dia tidak peduli lelaki itu hendak marah padanya, yang penting dia tidak suka di layan sebegini.
“Hei! Apa kau buat tu? Lepaskan dia!” tiba-tiba datang seorang lelaki lingkungan umur 30-an berlari anak mendapatkan mereka.
Lelaki lingkungan 30-an itu terus meluru mendapatkan Cinta, “adik? Apa dia buat kat adik? Hei, berani kau sentuh adik aku?!” Cinta memandangnya pelik. Adik? Tetapi, lelaki itu mengenyitkan pula matanya pada Cinta. “Lepaskan dia!” arah lelaki itu pada lelaki yang memandu kereta Waja berwarna putih tadi.
Lelaki itu terus melepaskan Cinta dan berlari masuk ke dalam keretanya. Dengan sepantas kilat, dia memecut kereta Wajanya meninggalkan tempat tersebut.
“Awak tak apa-apa?” soal lelaki lingkungan 30-an itu pada Cinta. Cinta hanya menggeleng. Lelaki itu menghembus nafas lega. “Oh, baguslah. Siapa lelaki tadi tu? Boyfriends?” duganya.
Pantas Cinta menggeleng.
“Kawasan sini bahaya sikit, sekarang malam pulak kan. Cik nak ke mana ni?”
Cinta diam.
“Err, rumah cik kat mana? Biar saya hantarkan?”
Sekali lagi Cinta diam. Lelaki itu bingung memandang Cinta.
“Takkan bisu pulak minah ni?” Ucap lelaki itu perlahan tetapi masih dapat di dengari oleh Cinta. Cinta membulatkan mata memandang lelaki itu.
 Melihatkan keadaan Cinta, beg yang dikepit oleh Cinta, lelaki itu  dapat mengagak yang Cinta mempunyai masalah. “oh, lari dari rumah ya?” soalnya lagi.
Cinta diam.
“Err.. macam nilah, dah malam sangat ni, bahaya. Awak nak saya hantar awak ke mana-mana ke?”
Cinta masih diam. Makin bingung lelaki itu dibuatnya. “Err.. saya tak ada niat buruk tau. Saya betul-betul nak tolong ni. Lagipun dah malam sangat ni, tak elok awak berkeliaran malam-malam macam ni. Nanti entah siapa-siapa pulak yang tegur awak macam tadi. Awak ikut sayalah ya? Rehat. Esok pagi, awak decide nak pergi mana. Boleh?”
Cinta mengangguk. Entah kenapa, dia berani  bersetuju walhal dia tidak kenal lelaki di hadapannya itu. Tetapi, dia dapat rasa lelaki itu ikhlas ingin membantunya.
“Okey, jom! Kereta saya kat belakang tu.”

DI DALAM kereta Cinta hanya diam tanpa bersuara. Dia kekok untuk memulakan berbualan sementalah lelaki itu baru sahaja dia kenal, itu pun secara tidak sengaja. Tetapi, dia tidak sedap hati pula jika terus berdiam diri. Nanti lelaki itu mengatanya sombong dan tidak reti berterima kasih pula. Nak tak nak, Cinta bersuara juga.
“Err, terima kasih tolong saya.”
Lelaki itu tersenyum. Manis. “sama-sama. Saya ingat awak bisu, dah tak boleh bercakap.”
Cinta senyum sahaja. Ya, tadi pun lelaki itu mengatakan dia bisu. Panas sungguh hatinya mendengar kata-kata lelaki itu tadi.
“Saya Azman.” Kata lelaki itu.
“Cinta.” Cinta tunduk kepala. Dia tunggu reaksi dari Azman. Pasti lelaki itu pelik dengan namanya sepertimana rakan-rakan sekolahnya dahulu.
“Err.. awak cakap apa tadi?” Azman menoleh memandang Cinta.
“Nama saya, Cinta.” Ulang Cinta.
Azman mengangguk-anggukkan kepalanya dan sesekali dia tersengih-sengih. Cinta mendengus perlahan. Pasti Azman sedang mengejek namanya, “saya tahu nama saya pelik.” Akui Cinta. 
Azman geleng kepala, “eh, awak jangan salah faham. Ya, nama awak memang pelik tapi saya tak mengejek awak. Saya rasa kelakar je bila awak cakap nama awak tadi tapi saya ingatkan awak cakap, awak cintakan saya.” Azman ketawa lepas.
Cinta hanya tersenyum.
“So saya nak hantar awak kat mana ni?” soal Azman.
Cinta menggaru kepala. Ke mana dia mahu pergi? Minta Azman menghantarnya ke Johor Bharu? Mahukah lelaki itu menghantarnya ke tempat sejauh itu pada malam-malam begini? Tetapi jika ke Johor Bharu, ke mana dia mahu tinggal? Rumah ketika dia duduki bersama arwah papa dan mamanya dahulu, pasti sudah diduduki oleh penghuni lain.
Oh ya, mungkin dia boleh menumpang di rumah Halini. Tetapi bagaimana jika keluarga Halini sudah berpindah? Sementalah Cinta pun sudah bertahun-tahun tidak memberikan khabar berita sejak dia tinggal bersama bapa saudaranya, Reth.
“Kampung saya di Johor.” Balas Cinta.
“Johor? Awak nak saya hantar awak ke stesen bas? Bas awak pukul berapa?”
Cinta menggeleng, “saya tak naik bas.”
“Oh, awak naik teksi ya? Tapi nak dapatkan teksi malam-malam ni susah.”
Cinta diam. Dia tidak tahu bagaimana caranya untuk dia membuka mulut bercerita hal yang sebenar kepada Azman. Dia menunduk memandang selipar jepun yang tersarung di kakinya.
“Macam inilah, saya boleh tolong awak carikan teksi tapi bukan malam ni. Err.. kalau awak tak keberatan, awak boleh tinggal sementara di rumah sewa saya…” terbeliak mata Cinta memandang wajah Azman di sebelahnya. “Eh, awak jangan salah faham. Saya tak ada langsung niat buruk pada awak, saya ikhlas nak tolong. Awak jangan risau, kita tak tinggal berdua. Kakak saya ada kat rumah saya. Tapi hari ni sajalah, esok dia dah balik Brunei.” Terang Azman.
Cinta masih diam membisu.
“Okey, kalau awak tak nak, awak ada mana-mana pilihan? Nak bermalam kat hotel ke homestay ke. Saya boleh tolong hantarkan.” Cadang Azman.
“Saya tak ada duit.”
Azman terdiam. Mati kutu dia dibuatnya memikirkan cara untuk menolong Cinta.