Nov 23, 2011

KAC 3

DIA masih berteleku di atas hamparan permaidani di ruang tamu luas rumah banglo dua tingkat miliknya itu. Matanya setia menatap gambar si isteri di dalam bingkai gambar yang elok tergantung di dinding putih. Sudah satu jam dia di situ. Bukan tiada yang memujuknya untuk beredar dari situ tetapi dia langsung tidak menghiraukan suara-suara itu. Baginya, mereka tidak mengerti dan tidak akan faham apa yang sedang di alaminya kerana mereka tidak mengalami penderitaan yang di hadapinya ini.
“Sudahlah, Iq. Ina dah tak ada, jangan seksa diri Iq macam ini, nak..” pujuk Puan Normala pada anaknya yang sedang bersedih itu.
Haziq menggeleng kepala, “mama tak faham, mama tak kan pernah faham Iq..” rintih Haziq. Air matanya sudah jemu untuk mengalir. Matanya sudah membengkak akibat terlalu banyak mengalirkan air mata.
“Apa yang mama tak faham, Iq? Iq tak ingat ke masa papa Iq meninggal dunia dulu, mama macam mana? Mama terseksa, Iq. Hidup mama tunggang-langgang masa tu tapi demi Iq, demi anak mama, zuriat yang satu-satunya tanda kenangan papa pada mama, mama bangkit, nak.
Iq pun sama, Iq ada Hani. Hani perlukan Iq. Sampai bila Iq nak macam ni? Sampai bila Iq nak seksa diri macam ni? Ina dah dua minggu pergi tinggalkan kita semua. Iq langsung tak hiraukan Hani. Iq.. Hani tu anak Iq!” panjang lebar Puan Normala menasihati anaknya tetapi, Haziq hanya diam membatu. Matanya terus-terusan pada gambar arwah Salina.
“Mama tak faham..”
“Sudahlah Iq. Kalau Iq tetap macam ni, masih tak sedar-sedar, mama akan bawa Hani bersama mama. Kasihan Hani, Iq.”
Haziq diam. Puan Normala menggeleng. Setitis air matanya jatuh ke pipi. Sungguh berat ujian yang di tanggung anaknya itu. Moga ALLAH tabahkan hati anaknya itu. Dia tahu betapa dalamnya cinta Haziq pada isterinya, Salina. Salina meninggal dunia ketika melahirkan buah cinta mereka berdua, Hani Shahira binti Haziq Ikhsan nama di beri oleh arwah Salina sendiri.

PUAN NORMALA mahu membawa Hani ke klinik kerana suhu badan Hani panas. Puan Normala mula berasa bimbang apabila Bik Asih memberitahunya Hani tidak berhenti menangis dari pagi lagi dan badan si kecil itu panas.
“Iq, badan Hani panas ni. Jomlah kita bawa dia ke klinik, biar doktor periksa dia. Mama takut Hani ni ada sakit apa-apa, dia kecil lagi. Kita pergi klinik ya, Iq?” Puan Normala mengajak Haziq membawa Hani ke klinik tetapi Haziq hanya membatu, langsung tidak memberi respon.
“Iq!! Iq dengar tak apa yang mama cakap ni?”
“Apa, ma?”
“Ya ALLAH! Apa kena dengan Iq ni? Hani ni anak Iq tahu tak? Sampai bila Iq nak buat tak tahu saja? Hani perlukan Iq!” Puan Normala mula hilang sabar dengan perangai anaknya.
“Iq tak perlukan dia!!”
“Astaghfirullahaladzim. Haziq Ikhsan bin Zainal Abidin, kau sedar tak apa yang kau cakap ni?!” berang Puan Normala.
“Sudahlah, ma. Mama nak bawa dia pergi mana pun, Iq dah tak kisah. Dia berambus dari rumah ni lagi bagus. Sakit hati Iq tengok dia!”
“Iq!! Hani ni anak Iq. Dia berbinkan nama Iq. Kenapa Iq cakap macam tu?”
“Dia bukan anak Iq!!”
“.. habis dia anak siapa? Kalau Ina dengar apa yang Iq cakap ni, mesti dia kecewa dan sedih.”
“Dia penyebab Ina mati, ma. Iq benci dia!!”
“Ya ALLAH! Mengucap, nak. Tak baik cakap macam tu.”
“Mama bawalah dia ke mana mama nak, Iq tak nak tengok dia ada dalam rumah ni lagi.” Haziq terus berlalu memanjat tangga menuju ke biliknya di tingkat atas.
Puan Normala menggeleng, dia teramat kecewa dengan sikap anaknya. Dia sedih kerana Haziq masih tidak dapat menerima kenyataan yang Salina sudah meninggal, dan apa yang terjadi semua ini adalah takdir dari yang maha Esa. Dia pasti ALLAH menguji anaknya itu bertujuan, pasti ada hikmah di sebalik semua yang berlaku ini.
“Bik, kita bawa Hani ke klinik. Panggil Pak Atan suruh dia siapkan kereta.”
“Err.. tapi Puan, Pak Atan baru saja keluar. Katanya mahu ke bengkel.”
Puan Normala mengeluh, “habis, macam mana ni, bik? Badan Hani panas sangat ni. Apa kita nak buat?”
“Err.. Tuan Haziq tidak mahu bawa Hani ke klinik, Puan?
“Saya tak tahulah apa nak jadi dengan si Haziq tu. Puas saya nasihat dia, dia tetap tak nak terima Hani, padahal Hani ni anak kandung dia, bik. Saya tak tahu nak buat apa lagi, bik.”
“Sabarlah Puan. Kita tunggu saja Pak Atan balik dari bengkel ya?”
Puan Normala mengangguk. Dia memandang Hani yang berada dalam dukungannya, “papa sayang kat Hani. Papa tak benci Hani. Nenek pun sayang Hani. Hani sabar ya? Nenek janji, nenek jaga Hani.”

MALAM itu, sekali lagi Puan Normala cuba memujuk Haziq. Haziq tetap begitu, tiada hati mahu memandang Hani apatah lagi mendukung si kecil itu. Haziq benar-benar sudah mengeraskan hatinya untuk menerima Hani di dalam hidupnya. Baginya Hani adalah penyebab arwah Salina meninggal.
Dari dulu lagi Haziq tidak bersetuju Salina mengandung. Dia bukan seperti suami-suami lain yang mahukan zuriat dari rahim seorang isteri. Baginya, hidupnya sudah lengkap jika Salina ada disisinya, menemaninya sehingga hari tua mereka. Dulu, dia pernah memberi usul supaya mereka mengambil anak angkat apabila Doktor Ramlah mengatakan Salina tidak boleh mengandung tetapi Salina membantah. Kerana sayangkan Salina, Haziq ikut sahaja apa kemahuan Salina.
“Iq, tadi mama bawa Hani ke klinik. Hani sakit, Iq. Kasihan dia.”
“Sakit apa?” soal Haziq endah tak endah.
“Demam panas. Mama rasa dia rindukan papanya. Iq, Hani anak Iq. Anak kandung Iq. Sampai bila Iq nak layan dia macam orang asing? Dia tak salah, dia tak tahu apa-apa, Iq.” Pujuk Puan Normala.
“Iq tak nak cakap pasal ni, ma.”
“Iq.. sampai bila..” dengan pantas Haziq memotong kata-kata Puan Normala, “good night, ma. Nanti mama tolong tutupkan lampu ya? Iq nak tidur.”
Puan Normala mengangguk, “hari ni Hani tidur dengan Iq ya?”
“Biarlah dia tidur dengan Bik Asih. Kalau tidur sini, memekak je.”
“Kasihan Hani..” Puan Normala mengeluh panjang. Keras betul hati anaknya itu, sama seperti arwah papanya.
‘Ya ALLAH, engkau lembutkanlah hati anakku. Engkau bukakanlah pintu hatinya untuk menerima anak kandungnya, Hani. Sesungguhnya bayi sekecil Hani tidak mengerti apa-apa’ doa Puan Normala. Dia amat berharap dengan kehadiran bulan suci ramadhan ini, hati anaknya akan lembut untuk menerima dan menyayangi Hani. 

No comments:

Post a Comment